Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak membidas Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang didakwanya bukanlah "pengurus ekonomi yang cekap" sewaktu krisis ekonomi yang melanda Malaysia pada tahun  1997-1998.

Najib mendakwa Anwar yang menjadi menteri kewangan ketika itu menggunapakai dasar maya Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) yang diketuai sahabat karib ketua umum PKR itu, bagi menangani krisis ekonomi ketika itu.

"Tindakan beliau memotong perbelanjaan pembangunan serta menaikkan kadar faedah di saat-saat keyakinan pasaran menurun dan memerlukan suntikan oleh kerajaan telah menyebabkan kesengsaraan kepada rakyat terbanyak khususnya masyarakat perniagaan.

"Orang ini memang selayaknya digelar sebagai sesumpah politik. Bila bercakap di Amerika Syarikat dan kepada bangsa lain, berbeza nadanya, bila bersyarah kepada orang Melayu dan orang Islam, lain pula ceritanya.

"Semasa bersama kita dalam Umno, caranya sekian, sekarang jadi ketua umum pembangkang, segala pendirian dan fe'elnya berubah pulak," kata Najib sambil menambah kalau ikut pepatah dulu "dia ini lidahnya bercabang".

Najib mendakwa tiada orang boleh meneka watak sebenar beliau yang secara terang-terang mendukung usaha menjamin keselamatan Israel, pada kala dunia sedang mengutuk Rejim Tel Aviv yang kejam itu kerana membantai dan mengganyang umat Islam di Gaza.

"Akan tetapi, apabila kerajaan membentang usul mengecam Israel di Parlimen...dah.. dia menyokong pulak...heran..heran...," kata Najib sinis.

Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya di Perhimpunan Agung Umno di Dewan Merdeka PWTC pagi ini.

Membuat perbandingan lanjut, Najib berkata Dasar Transformasi Nasional telah digubal dan dilaksanakan semenjak beliau dan rakan-rakan mengambil alih kepimpinan parti dan kerajaan lebih tiga tahun yang lalu.

Beliau yang juga menteri kewangan berkata, melalui dasar tersebut, pihaknya telah memeta transformasi kerajaan, ekonomi dan politik secara rapi bagi mempastikan Wawasan 2020 akan tercapai.

"Hasil pelaksanaan Program Transformasi Kerajaan, Program Transformasi Ekonomi, dan Model Ekonomi Baru misalnya, pendapatan per kapita GNI negara meningkat 30 peratus di antara tahun 2009 hingga 2011 iaitu daripada AS$6,700 kepada AS$9,700.

"Kemuncaknya nanti saudara dan saudari, ialah bagi mencapai pendapatan per kapita sebanyak AS$15,000 dolar.

"Hakikatnya, jika kita menggunakan kayu ukur mutakhir Bank Dunia bagi mengklasifikasi sebuah negara sebagai berpendapatan tinggi, iaitu AS$12,476, maka ia jelas menunjukkan, walaupun tempohnya masih tinggal tujuh tahun lagi, kita, Malaysia, sudahpun berada pada landasan yang betul, untuk lebih awal mencapai taraf tersebut," katanya.

Najib berkata Malaysia tercatat antara negara dagangan terbesar dunia dengan nilai eksport dan import lebih RM1 trilion dan diiktiraf Institute for Management Development dan The World Economic Forum atau WEF dalam barisan 20 negara paling berdaya saing di dunia.

Bahkan, katanya, Malaysia diiktiraf Bank Dunia sebagai negara ke-12 paling mudah untuk berurusniaga, sementara Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan UNDP pula menilai status negara ini sebagai sebuah negara yang mempunyai “High Human Development Index”.

Najib turut membidas janji pihak pembangkang khususnya dalam Buku Jingga sebagai manifesto bagi menawan hati rakyat yang didakwanya "semua itu hanya nampak muluk-muluk"  antaraya menjamin pendapatan purata bulanan setiap isi rumah, menghapuskan tol, hutang PTPTN, memberikan elaun khas kepada guru, dan menaikkan royalti petroleum sehingga 20 peratus kepada negeri.

Katanya, seandainya dilaksanakan, defisit bajet Kerajaan pusat akan melonjak kepada hampir 30 peratus, menjelang tahun 2015 kadar nisbah hutang negara kepada KDNK akan melambung kepada 140 peratus dan akhirnya didakwa akan mencapai seperti negara Greece.

Najib turut mempersoalkan sama ada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang layak untuk diangkat oleh rakyat untuk membela untung nasib mereka, sedangkan dengan amanat beliau pada 1981 didakwa "telah memecahkan perpaduan dan menanamkan benih-benih kebencian di kalangan sesama Islam".

"Tambahan lagi, kita dapati, hari ini, pemimpin yang sama dan parti yang sama mengecam UMNO itu, sudah tidak lagi memperjuangankan negara Islam, sebaliknya pula mahu menubuhkan Negara Berkebajikan.

"Mereka juga hari ini bekerjasama dengan sebuah parti yang menentang penubuhan negara Islam serta mahukan Malaysia dijadikan sebuah negara sekular," katanya sambil mempersoalkan mengapa matlamat perjuangan PAS semalam berbeza dengan matlamat perjuangan mereka hari ini.

"Sedang ia melibatkan perkara asas. Terbukti, pelaksanaan negara Islam ala PAS di antara parti itu dan DAP masih belum diselesaikan malah cuba untuk  disembunyikan.

"Kalau isu pokok yang paling besar membezakan mereka masih belum diputuskan bagaimana halnya hendak membentuk kerajaan campuran," katanya.

Najib juga membidas parti DAP yang didakwanya "semua orang mengetahui DAP ialah parti anak, bapa dan menantu" dan Lim Kit Siang ialah "individu yang begitu berkuasa" dalam parti itu.

Katanya, sifir dan tafsiran demokrasi ala parti itu amat mudah di mana ada pemimpin "baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan" seperti Naib Pengerusi Tunku Aziz berhubung isu "demonstrasi jalanan" Bersih 3.0 sehingga tempoh Senator tidak disambung.

"Inilah sebenarnya demokrasi cara DAP. Baru saja nak menyuarakan pendapat, hukuman sudah dijatuhkan. Kita tidak dapat bayangkan sekiranya mereka memegang tampuk kerajaan, apakah yang akan berlaku terhadap rakyat Malaysia yang tidak bersetuju atau berselisih pandangan dengan pihak kepimpinan. Apatah lagi seteru politik mereka," katanya.

ADS