Najib persoal pihak tuduh Umno "tidak Islamik"
Presiden Umno Datuk Seri Najib Tun Razak mempersoal pihak yang mendakwa parti itu "tidak Islamik dan dinista semahunya", sedangkan menurutnya, parti itu yang selama ini membolehkan Islam diamal sebagai cara hidup syumul di Malaysia.
"Apakah tidak mereka melihat bahawa, selama berpuluh-puluh tahun semenjak merdeka, syiar Islam yang murni, begitu meluas di negara ini, yang bukan terbatas di bidang ibadah sahaja, bahkan merangkumi lapangan munakahat, muamalah dan jinayah.
"Sesungguhnya, Umno sentiasa memperjuang dan mempertahankan Islam sepertimana termaktub dalam Perlembagaan parti, sesuai dengan kedudukannya sebagai Agama Persekutuan.
"Dek kerana itu, tuduhan-tuduhan oleh pihak tertentu bahawa Umno parti nasionalis yang sekular amatlah tersasar. Baru-baru ini, sampai kepada tahap, sanggup mendoakan kecelakaan kepada Umno. Sedangkan kita, adalah saudara seagama," katanya.
Najib berkata beliau pelik dengan perbuatan mereka itu di kala "saudara kita di Gaza sedang ditimpa musibah dan begitu memerlukan solidariti umat, mereka di sini pula sibuk mahukan kejatuhan orang lain".
Beliau berkata demikian sewaktu menyampaikan ucapan dasarnya di hadapan 2,722 perwakilan di Perhimpunan Agung Umno ke-66 di Dewan Merdeka pagi ini.
Najib berkata Umno telah membuat sekian banyak dalam mempastikan keberlangsungan Islam antaranya memiliki agensi khusus bagi pelaksanaan ibadah haji secara komprehensif, menawarkan khidmat perbankan dan kewangan Islam secara meluas, membuat pinjaman perumahan, kenderaan, pelajaran dan membuat pelaburan di pasaran saham dan lain-lain transaksi kewangan dengan menggunakan kaedah patuh syariah.
Selain itu, Najib berkata Malaysia menjadi contoh sebuah negara Islam yang aman dan maju, Malaysia yang menyumbang kepada kesejahteraan di seluruh dunia seperti menghantar anggota pengaman, pemerhati tentera termasuk pasukan perubatan ke negara Islam berkonflik seperti Bosnia, Somalia, Lubnan dan Afghanistan.
Tegasnya lagi, Malaysia komited untuk mendapatkan keadilan bagi rakyat Palestin dan telah serta akan sentiasa memperjuangkan hak sah mereka untuk bernegara sendiri di forum serantau dan global.
"Kita menyeru agar masyarakat antarabangsa menghormati aspirasi ini melalui prinsip dua negara yang telah dipersetujui. Insya-Allah, Malaysia akan menjadi negara pertama untuk membuka kedutaan di ibu kota negara Palestin yang merdeka dan berdaulat kelak," katanya sambil menambah Malaysia prihatin terhadap nasib masyarakat Rohingya di Myanmar.
Merujuk semua itu, Najib mengingatkan bahawa janganlah sumbangan kepada Islam diukur hanya dengan tahap retorik dan kuatnya bunyi pekikan slogan semata-mata, sedangkan sumbangan sebenar serta isi kandungannya tidak seberapa.
"Sebetulnya pun, pencapaian memenuhi tuntutan Islam sebagai cara hidup ini berjaya dizahirkan dalam pada Malaysia merupakan sebuah negara berbilang etnik, budaya dan agama.
"Kenapa dan mengapa? Tidak lain tidak bukan, kerana sejak merdeka, berpaksikan prinsip wasatiyyah, Umno dan rakan-rakan dalam Barisan Nasional dengan penuh keikhlasan telah mampu mencapai tahap muafakat yang tinggi bersama-sama memajukan negara," katanya.
Berlandaskan semua itu tegas beliau, tidak ragu-ragu bahawa Umno komited bagi terus mempertinggikan Islam berteras maqasid syariah, demi memelihara agama, nyawa, harta benda, aqal, maruah dan keturunan.
Perdana menteri juga berkata Umno juga menolak sekeras-kerasnya pihak yang mendokong fahaman pluralisme dan liberalisme.

