S'gor tawar bonus untuk staf pusat khidmat DUN
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri mencadangkan untuk meningkatkan peranan fungsi pusat khidmat DUN bagi mempromosi program bawah Merakyat Ekonomi Selangor (MES).
Katanya, cadangan itu ditimbulkan memandangkan terdapat program MES, yang diperkenalkan sejak 2008, didapati masih tidak mencapai sasaran.
"Kita juga ingin merancangkan sistem bonus akan diberi warga kerja pusat khidmat apabila mereka mencapai sasaran yang kita jangkakan. Dengan cara itu, kita dapat mempertingkatkan lagi penglibatan masyarakat dalam program MES," katanya.
Selain itu, risalah berhubung program tersebut perlu diedarkan dari semasa ke semasa supaya rakyat mengetahui perkembangan terkini mengenai rancangan itu.
Sehubungan itu, beliau mencadangkan agar kerajaan negeri antara lainnya menyediakan portal rasmi MES supaya rakyat dapat mengetahui perkembangan dan program yang dilakukan oleh kerajaan negeri.
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Hasbullah Mohd Ridzwan (PAS-Gombak Setia) berhubung usaha kerajaan menambah baik perjalanan MES dan langkah meningkatkan promosi program itu di kalangan rakyat.
Bercakap dalam sidang DUN Selangor hari ini berkata antara program yang diperkenalkan bawah MES sejak 2008 adalah antaranya pemberian air percuma, tabung warisan anak Selangor dan pemberian bantuan warga usia emas.
"Tapi program-program ini ada kalanya kita dapati tidak sampai kepada mereka yang kita sasarkan," katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sebarang perangkaan untuk menilai prestasi berkenaan.
Sementara itu, menjawab pertanyaan Ng Suee Lim (DAP-Sekinchan) berhubung kedudukan kewangan terkini kerajaan negeri, Khalid berkata kumpulan wang yang disatukan daripada wang tunai dan pelaburan sebanyak RM2,619.44 juta yang berakhir 31 Disember 2012.
Manakala pada 31 Mei 2013, kumpulan wang disatukan di negeri itu adalah sebanyak RM2,824.18, tambah Khalid yang juga bekas ahli korporat.
Katanya, keseluruhan kedudukan kewangan negeri Selangor berada pada tahap "memuaskan".

