Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kuala Besut, Datuk Seri Idris Jusoh menyifatkan kenyataan Datuk Husam Musa bahawa kemenangan PAS dalam RPK itu memberi keuntungan politik kepada menteri itu, sebagai cuba "melaga-laga" beliau dengan Menteri Besar, Datuk Ahmad Said.

"Dia (Husam) nak melaga-laga kita tu. Dia tak ada modal. Bila tak ada modal, dia carilah modal. Calon dia pun tak larat, parti pun tak larat. Dia cucuk kita. Dia cucuklah, biasalah," katanya dalam sidang medianya petang ini.

Idris mengulas kenyataan naib presiden PAS pagi tadi bahawa kemenangan PAS "membantu" Idris yang didakwanya "bertembung" dan mempunyai perbezaan pendapat dengan Ahmad.

Husam berkata kemenangan itu akan menyebabkan kedudukan Ahmad tergugat dan sehingga sekarang Ahmad tidak boleh ditukar kerana didakwanya "terlalu kuat".

"Kita dapat kerusi, dia (Idris) dapat keuntungan politik," kata Husam kepada pemberita di Kompleks Rakan Muda pada penamaan calon hari ini.

Bagaimanapun Idris yang juga menteri pelajaran dan pengajian tinggi II menafikan bahawa beliau mempunyai masalah dengan Ahmad yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Terengganu

"Saya tidak ada masalah dengan dia (Ahmad Said). Saya makan sekali dengan dia. Tak ada masalah," katanya dalam sidang medianya di Hotel Primula Pointray Besut.

Isu pergeseran kedua-dua pemimpin Umno itu menjadi rahsia umum selepas Idris tidak lagi dilantik menjadi menteri besar selepas pilihan raya umum 2008 dan diganti oleh Ahmad.

Dalam pilihan raya umum lalu, BN pimpinan Ahmad gagal mendapat dua pertiga majoriti kerusi DUN apabila mendapat 17 kerusi DUN manakala Pakatan Terengganu menguasai 15 kerusi. Hal demikian mengundang persoalan pelbagai berhubung kemampuan Ahmad menguruskan parti dan negeri.

Kerusi DUN Kuala Besut kosong ekoran kematian wakil rakyat dari BN, Datuk A Rahman Mokhtar. Jika BN berjaya mengekalkannya, maka ia dilihat memberi kelebihan kepada Idris yang juga ahli parlimen Besut.

Dalam sidang media yang sama juga, Idris menjelaskan bahawa beliau mengenali calon PAS Azlan Yusof yang pernah menjadi ahli jawatankuasa Pemuda Umno cawangan Gong Nering, Besut.

Katanya, Azlan telah dipecat daripada Umno kerana "menunjukkan kecenderungannya kepada parti lain" dan beliau tidak ingat bila tindakan itu dibuat.

Bagaimanapun, Idris yang juga Ketua Umno Besut enggan mengulas lanjut mengenai Azlan kerana menghormati kemuliaan bulan Ramadan.

"Kita nak bercakap tentang kehebatan kita. Kehebatan calon, prestasi parti baik, pembangunan kita tahu. Komen terhadap orang ni kita 'reserve' sikit," katanya.