'P'raya umum depan bergantung pada taktikal'
VIDEO | 2:27 minit
Naib presiden PAS Datuk Husam Musa mengingatkan Pakatan Rakyat supaya lebih menguasai "taktikal dalam pilihan raya" untuk mendapatkan manfaat daripada keadaan sokongan terhadap mereka melonjak pada pilihan raya umum 5 Mei lalu.
Sambil menegas untuk memperkukuhkan muafakat PAS dalam gabungan pembangkang itu, Husam ( bawah ) menyifatkan pilihan raya umum ke-14 merupakan "pusingan terakhir" bagi Pakatan untuk mentadbir negara ini.
"Kita telah menang pada pilihan raya umum (lalu) dengan majoriti (undi) lebih daripada lawan.
"Tinggal lagi taktikal pilihan raya. Ini kita kena concern . Kalau kita biarkan mereka menguasainya, dan kita mengambil semangat sahaja, kita akan tewas," katanya.
Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan dengan lebih lanjut dan jelas taktikal yang dimaksudkannnya.
Husam menjawab soalan berhubung hala tuju PAS pada masa depan dalam sebuah dialog bertajuk 'Survival PAS dalam arena politik Malaysia' di ibu negara malam tadi.
Turut serta sebagai panelis dalam dialog tersebut adalah Naib Presiden PAS Salahudin Ayub, ahli jawatankuasa PAS Pusat Dr Dzulkefly Ahmad dan ADUN Batu Burok Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi.
Sementara tu, Husam berkata keputusan beliau bertanding di parlimen Putrajaya pada pilihan raya umum lalu bagi menghantar isyarat bahawa kemenangan semakin menghampiri Pakatan Rakyat.
Bagaimanapun, beliau yang juga ADUN Salor, Kelantan mendakwa ketewasannya disebabkan berlakunya pemindahan pengundi kira-kira 5,000 pengundi ke kawasan Parlimen lain seperti di Bukit Bintang dan Batu.
Sungguhpun begitu, Husam bagaimanapun memberi cadangan khususnya kepada kepimpinan PAS supaya "memahami dan menyelami" kebimbangan orang Melayu demi membolehkan perubahan menyeluruh dapat dicapai.
Menurutnya lagi, politik perkauman yang dimainkan oleh parti lawan tidak memberi kesan apatah lagi undi terhadapnya termasuk di hampir semua DUN dan parlimen di Kelantan dan Terengganu meningkat.
"Jadi indikator positif ini kita kena ambil. Tinggal lagi kita nak layan kebimbangan sebenar orang Melayu. Kalau kita nak praktikal, kita kena selami apa kebimbangan dan layan kebimbangan sebahagian mereka.
"Bagi saya bagaimana kita (nak) artikulasi sesuatu isu dalam kaca mata politik rasis yang dimainkan oleh Umno dan kita ada sedikit kecacatan undi Melayu untuk dicukupkan bagi perubahan menyeluruh negara kita," katanya.
Salahuddin: Tak akan berpecah sebab perbezaan
Menghuraikan mengenai langkah PAS mara ke depan, Salahudin pula mengulangi tawaran mereka dalam konsep negara berkebajikan dengan bergandingan dengan rakan dalam Pakatan pada pilihan raya umum akan datang.
Sementara PAS dan Pakatan juga menyediakan rangka dasar untuk menyediakan kepimpinan yang mampu mentadbir negara termasuk mampu membuat 'engagement' dalam masyarakat.
"Permikiran berbeza (dalam Pakatan), kita tidak akan terpecah dengan perbezaan... Perbezaan pandangan diselesaikan dengan baik dalam memposisikan PAS dalam politik antarabangsa bersama-sama dengan Pakatan Rakyat.
"Kita tidak berjaya di Putarjaya, tetapi di Johor kita tambah empat kerusi bersama 18 kerusi daripada DAP. Kita sentiasa relevan, konstruktif demi masa depan politik," kata Salahudin.
Dr Dzul: Perkauman cuma alat lama
Mengulas lanjut mengenai isu perkauman dan agama yang didakwa sering digunakan oleh untuk menakut-nakut kaum Cina untuk menyokong calon Melayu PAS, Dr Dzulkefly berkata ia merupakan Umno tidak boleh menggunakan "alat lama dalam gelanggang baru".
Bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata Umno sengaja mengheret PAS dengan isu tersebut bagaimanapun Dr Dzulkefly (
kanan
) menegaskan perkara itu telah berlalu dan pihaknya tidak akan kembali dengan politik lama demi menjatuhkan BN pada pilihan raya umum akan datang.
"PAS memberi jaminan, kita akan terus beri prinsip ini, kita bertanding dengan Umno untuk membuktikan siapa lebih Melayu atau sempit pegangan Islamnya.
"Keyakinan kami untuk mewujudkan dua parti sistem, bersama Pakatan untuk semak dan imbang dan menumbangkan Umno BN. Itu prinsip kami. Sebab itu kami tidak akan patah balik dan anda jangan bimbang atau flip flop dengan perjuangan kami," katanya.

