Pro-M: Tiada masalah p'raya kampus semasa PRK Sg Limau
Kumpulan Pro-Mahasiswa (pro-M) berkata pihaknya tidak ada masalah apabila sembilan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) akan melangsungkan pilihan raya kampus dalam tempoh kempen pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.
Pengerusi pro-M Nasional Edikoup Lakip Sediyanto berkata politik dalam dan luar kampus adalah dua perkara yang berbeza.
"Tak ada masalah. Politik kampus adalah politik kampus. Politik luar adalah politik luar," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini semalam.
"Penetapan tarikh (pilihan raya kampus) adalah bentuk demokrasi yang perlu dilakukan untuk mahasiswa menjadi contoh sebagai modul demokrasi tulen di institusi ilmu," katanya lagi.
Pilihan raya kampus Universiti Malaya, Universiti Kebangsaaan Malaysia dan Univerisiti Pertahanan Nasional Malaysia dijadual berlangsung serentak dengan hari pernamaan calon DUN Sungai Limau pada 23 Oktober.
Manakala empat lagi - Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Malaysia Sabah dan Univerisiti Sains Islam Malaysia - akan melangsungkan pada keesokan harinya pada 24 Oktober ini.
Sementara Universiti Utara Malaysia dan Univerisiti Islam Antarabangsa Malaysia, masing-masing akan menjalankan pilihan raya kampus pada 29 dan 30 Oktober ini.
Ditanya penglibatan mahasiswa dalam pilihan raya kecil itu, Edikoup berkata terpulang kepada mana-mana mahasiswa untuk terlibat kerana ia adalah hak individu.
"Tapi andainya KPM (Kementerian Pelajaran dan Pengajian Tinggi Malaysia) boleh menggalakkan mahasiswa terlibat dalam pilihan raya Sungai Limau, itu adalah merit buat KPM yang bersifat terbuka," katanya.
Bagaimanapun, Edikoup berkata pihaknya akan lebih berpuas hati sekiranya tarikh dan corak pilihan raya kampus ditentukan oleh mahasiswa sendiri.
"Kita akan meneruskan kempen dan desakan sehingga mahasiswa diberikan hak untuk menguruskan pilihanraya kampus sendiri," katanya.

