Keputusan pemilihan sayap Umno lewat malam esok
Menggunakan sistem baru badan perwakilan pemilih (electoral collage), kira-kira 220,000 perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno bakal menentukan kepimpinan masing-masing di peringkat bahagian dan Pusat, esok.
Dengan sistem itu juga, kira-kira 146,500 perwakilan seluruh negara, secara lebih demokratik, bakal menentukan nasib kepimpinan Majlis Tertinggi, terutamanya debaran persaingan enam penjuru di peringkat naib presiden.
Ia selaras dengan pindaan perlembagaan parti pada 2009 yang mahu membuka ruang lebih luas kepada ahli memilih pemimpin lebih berkemampuan, atas keperluan mendepani asakan pembangkang di hari-hari mendatang.
Mesyuarat perwakilan dan pemilihan ketiga-tiga sayap parti peringkat bahagian berlangsung serentak dengan pemilihan exco Wanita, Pemuda dan Puteri Malaysia esok.
Manakala mesyuarat perwakilan dan pemilihan peringkat bahagian bermula serentak dengan pemilihan Majlis Tertinggi dan wakil bahagian ke Perhimpunan Agung Umno 2013 pada 19 Oktober ini.
Sebelum ini, kepimpinan sayap, rata-rata dipilih sekitar 800 perwakilan. Kali ini, jumlahnya bertambah berkali-kali ganda,
Kira-kira 100,000 perwakilan Wanita bagi menentukan sama ada Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil terus memimpin pergerakan yang dianggap tulang belakang parti itu.
Sementara bagi Pemuda, kira-kira 70,000 perwakilan bakal memilih sama ada empat lagi pencabar jawatan ketua Pemuda Umno mampu memalukan penyandangnya Khairy Jamaluddin untuk tempoh tiga tahun akan datang.
Manakala 50,000 perwakilan Puteri pula bakal memilih kepimpinan baru sayap itu selepas ketuanya Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan timbalannya Shahanim Yusof tidak mempertahankan jawatan.
Proses pemilihan pucuk pimpinan bahagian dan pusat termasuk sayap-sayap parti dilakukan di 191 bahagian Umno di seluruh negara.
Ia bermula dengan pendaftaran perwakilan dan pemilih pada 8 pagi sebelum persidangan mesyuarat bahagian atau sayap meneruskan agenda, termasuk membentang penyata tahunan dan penyata kira-kira.
Kemudian, mesyuarat menyerahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno yang dilantik untuk mengadakan proses pemilihan. Kertas undi yang ditanda kemudiannya dimasukkan ke dalam peti mengikut jawatan dan peringkat (pusat/bahagian).
Proses pengundian dilakukan secara berasingan bagi setiap sayap parti, sementara proses pengiraan undi pula dijalankan di peringkat bahagian.
Ketua pusat daerah mengundi membuat penjumlahan undi sebelum disahkan oleh pemeriksa kira-kira yang dilantik.
Pengiraan undi untuk jawatan ahli Majlis Tertinggi dan exco sayap-sayap dilakukan di peringkat bahagian.
Pengumuman keputusan bagi peringkat bahagian dilakukan oleh pengerusi tetap bahagian tersebut manakala bagi jawatan di peringkat pusat dilakukan oleh ibu pejabat parti.
Keputusan bagi jawatan sayap parti di peringkat pusat dijangka diumumkan kira-kira jam dua atau tiga pagi hari berikutnya (13 Oktober).
Begitu juga bagi jawatan Majlis Tertinggi dalam jangka waktu yang sama pada 20 Oktober.

