Bagaimana hotel London Felda naik 20% dalam 6 bulan?
Dalam kes pembelian hotel di London oleh Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), sama ada ia memang pembelian yang menarik atau ada sesuatu yang tidak kena sedang berlaku, dakwa DAP.
Ini kerana, menurut anggota Parlimen Bagan Lim Guan Eng, penilai harta tanah London menilainya £80 juta atau 22 peratus daripada harga pembelian, enam bulan sebelum dijual.
Lebih menarik, tambah Lim, kerajaan mendakwa nilai harta tanah itu melonjak 17 peratus berbanding harga pembelian, hanya selepas sebulan dibeli.
"Kami beri peluang kepada Felda untuk jelaskan kenapa nilainya £80 juta pada Mac, £98 juta pada September 2013 dan £115 pada Oktober," katanya yang juga setiausaha agung DAP di lobi Parlimen hari ini.
Menjawab perkara itu, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim berkata, Felda membuat untung atas kertas apabila membeli harta tanah itu dengan nilai £98 dan nilainya kini £115 juta.
Savills, gergasi perunding harta tanah global, dalam laporannya pada Mac 2013 berhubung Grand Plaza berkata, nilainya antara £77.4 juta hingga £80 juta bergantung kepada kaedah penilaian.

