Penjimatan isi rumah ekoran struktur baru cukai pendapatan yang diumumkan dalam Belanjawan 2014 tidak akan dapat mengimbangi jumlah cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang akan bermula pada April 2015.
Bagaimanapun, presiden Chartered Tax Institute Malaysia SM Thaneermalai berkata, perkara itu dijangkakan kerana kerajaan tidak akan memperkenalkan GST jika bukan untuk menambah pendapatan negara.
"Kita harus terima, degan memperkenalkan GST, kerajaan akan mendapat pendapatan cukai lebih banyak," kata Thaneermalai ketika dihubungi.
Malaysiakini menganggarkan, jumlah GST yang akan dibayar secara tahunan boleh mencecah sehingga tiga kali ganda berbanding penjimatan daripada penstrukturan semula cukai pendapatan, bergantung kepada tahap pendapatan tertentu.
Mengguna pakai data penggunaan yang disiarkan dalam laporan tahunan 2012 Bank Negara, boleh diperhitung bahawa golongan berpendapatan sederhana - antara RM4,000-RM5,000 - boleh membelanjakan sekitar RM200 hingga RM260 sebulan.
Ini bermaksud, mereka akan membayar GST antara RM2,400 hingga RM3,120 setahun, tetapi hanya menjimatkan RM1,050 bawah sktruktut baru cukai pendapatan negara.

