Perwakilan gesa tubuh Bank Wanita
Perwakilan Wanita Kedah Wan Mohalina Wan Mohamad mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan Bank Wanita sebagai usaha untuk melahirkan usahawan khusus dari kumpulan kaum hawa.
Menurutnya idea penubuhan tersebut diambil daripada negara India yang menubuhkan bank seumpama itu yang dikenali "India Women Bank" yang ditadbir di kalangan wanita mereka.
Katanya lagi, penubuhan bank yang dilancarkan pada 19 November lalu telah mencetuskan revolusi ekonomi India.
"Bank ini memahami kehendak wanita. Memudahkan memberi pinjaman untuk melahirkan (ramai) usahawan wanita (mereka).
"Mereka akan membuka lebih 500 cawangan di seluruh negara itu. Mengapa perkara ini berlaku di India? saya rasa di India, mereka faham pengajaran bahawa kaum wanita menjadi pemangkin kepada pencapaian ekonomi negara itu.
"Kalau dekat India boleh, kenapa Malaysia tidak boleh buat," katanya ketika berucap menyokong usul ekonomi dalam persidangan Wanita Umno petang ini.
5% peruntukan dari perolehan k'jaan
Selain itu, beliau juga mencadangkan supaya sekurang-kurang lima peratus daripada perolehan kerajaan diperuntukkan kepada usahawan wanita bagi melonjak ekonomi mereka pada masa akan datang.
Wan Mohalina berkata pihaknya juga mendesak kerajaan supaya memperuntukkan dana khas yang memberi pinjaman kepada wanita untuk meluaskan perniagaan di kawasan yang lebih strategik seperti di Pavilion dan KLCC.
Katanya, Wanita Umno mahu di kalangan usahawannya meluaskan perniagaan di peringkat antarabangsa dan tidak hanya tertumpu di tapak pasar malam sahaja.
"Usahawan wanita akan berjaya jika diberi peluang dan sokongan," katanya sambil mendesak kerajaan untuk mewujudkan meja khas di Pusat Sehenti kementerian dan GLC yang berperanan memberi khidmat nasihat keepada wanita.
Ketua Wanita Umno Sungai Petani itu juga mendesak GLC supaya membuka ruang yang lebih kepada wanita untuk terlibat dalam program vendor wanita yang tidak hanya menjual nasi lemak sahaja, sebaliknya menjadi kontraktor lasak.
Majlis Tindakan Ekonomi Wanita
Sebelum itu, Perwakilan Perak Nolee Ashilin Mohammed Radzi mencadangkan supaya kerajaan menubuhkan Majlis Tindakan Ekonomi Wanita bagi mengatasi yang melibatkan ekonomi ibu tunggal sekaligus meningkat KDNK negara lebih cepat.
Berucap sewaktu mencadangkan usul ekonomi hari ini, majlis itu menjadi badan penyelaras kepada pembangunan usahawan wanita termasuk dan mengkaji semula peranan usahawan wanita.
"Usaha menyeluruh untuk menangani (masalah) pembangunan usahawan, termasuk memberi latihan, bantuan, pemantauan dan perkembangan usahawan," katanya.
Menurutnya lagi, majlis tindakan tersebut juga menjadi badan konsultasi untuk menyampai maklumat dan pergerakan itu, melalui program Jalinan Rakyat dan Skuad Sayang, boleh dijadikan agen untuk menyebarkan maklumat berhubung peranan majlis itu.
"Majlis ini boleh menubuhkan makmal untuk memfokuskan kepada usahawan wanita bermasalah dan membuat analisa supaya mampu bersaing dengan wanita bumiputera lain," katanya.

