Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Seri Jamil Khir meminta agar semua pihak menghormati hak Sultan Selangor ke atas Majlis Agama Islam dan juga Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) yang menjalankan operasi serbuan dan merampas Bible berbahasa Melayu pada 2 Januari lalu.

"Kuasa agama adalah kuasa daripada Jadual 9 Perlembagaan Negara, kuasa Tuanku yang diturunkan kepada Majlis Agama (Islam Negeri) dan Jabatan Agama (Islam Negeri).

"Kita di peringkat persekutuan amat memahami kuasa agama adalah hak dan kuasa Jabatan Agama dan Majlis Agama dan Sultan," katanya dalam sidang media di Kelana Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai cadangan agar JAIS membuat perbincangan terlebih dahulu dengan kerajaan negeri Selangor apabila membuat operasi seperti itu.

Menurutnya lagi, beliau tidak mempunyai kuasa untuk campurtangan atau menghalang tindakan sesuatu agensi agama di negeri tersebut yang menjalankan tanggungjawan mereka.

"Kuasa itu daripada Tuanku, kita nak halang sapa pulak... (Contoh) Kamu isteri orang, saya tidak boleh kacau.

"Saya tidak ada kuasa pada agama (di negeri). Ini peruntukan bahawa kuasa agama  yang diberikan kepada Tuanku.

Diminta mengulas kenyataan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang meminta Paderi Lawrence Andrew menghormati keputusan Mahkamah Rayuan yang menghalang penggunaan kalimah Allah, Jamil bersetuju dengan saranan tersebut sementara menunggu keputusan Mahkamah Persekutuan.

Jamil yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno berkata ia bertujuan untuk mengelak timbulnya kontroversi dan perselisihan agama dan kaum di negara ini.

"Saya rasa wajar (Paderi Lawrence) tunggu kes ini dibicarakan dan (tunggu) penghakiman Mahkamah Persekutuan... Kita bukan hakim atau mahkamah (untuk membuat keputusan)," katanya.