Sejak tersebarnya SMS palsu mengenai permohonan pembiayaan perumahan rakyat Selangor (PURse) sejak Sabtu lalu, ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad berkata pihaknya menerima lebih 2,000 panggilan telefon yang bertanyakan kepadanya berhubung skim tersebut.

Beliau berkata SMS yang disebarkan melalui media sosial seperti Whatapps, Facebook, dan SMS itu, disebarkan oleh "pihak lawan" yang dianggapnya sebagai 'macai kangkung' yang bertindak jahat kepada kerajaan Pakatan Rakyat Selangor.

Bagaimanapun, beliau tidak mahu mendedahkan siapa yang "pihak lawan" yang dimaksudkannya.

Menurutnya lagi, selain itu terdapat juga kira-kira 20 rakyat Selangor yang menerima SMS tersebut datang sendiri ke pejabat ahli parlimen itu sehari sejak Isnin untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung skim tersebut termasuk yang menetap di Johor dan Melaka.

"Ia dilakukan oleh pihak-pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab, saya panggil macai kangkung, untuk memburuk-burukkan kerajaan Pakatan Rakyat bahawa bila buat janji, tidak dapat memenuhi hanya pandai cakap sahaja.

"Bagaimanapun yang datang kita beri layanan dan penjelasan dengan teratur dan kita pun telah membuat laporan polis. Kita dapat mengubahnya daripada cabaran kepada peluang," katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak terpengaruh dengan "permainan politik kotor" itu, dan jika terdapat pengumuman rasmi daripada kerajaan negeri ia akan disebarkan melalui program rasmi kerajaan dan di surat khabar dan bukannya daripada Whatapps atau SMS.

"Kita kena tambah kemahiran kita tapis maklumat. Jangan jadi mangsa pihak macai kangkung," katanya dalam sidang media petang ini.

SMS itu antaranya menyebut permohonan pembelian kediaman pertama di negeri itu dibuka kepada individu berusia 18 hingga 45 tahun, tidak memiliki sebarang rumah, berpendapatan kurang RM7,000 ke bawah dan keutamaan diberikan kepada pemohon yang berkahwin.

SMS itu mendakwa permohonan yang berjaya boleh mendapat pembiayaan sehingga RM350,000 tanpa faedah melalui skim PURse dan boleh menghubungi pejabat ahli parlimen itu.