PAS mendesak peguam negara (AG) menjelaskan mengapa seorang bekas setiausaha politik kepada bekas menteri yang didakwa pecah amanah masih tidak didakwa.

Kedua-dua mereka didakwa pecah amanah melibatkan wang RM1 dan RM1.1 juta. 

Ketua Penerangan PAS Datuk Mahfuz Omar berkata, berdasarkan laporan media pada 27 Januari lalu, mereka dikat jamin sebanyak RM50,000.

Menurutnya lagi, pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) juga menyatakan mereka akan didakwa selepas dua hari.

"Sehingga hari ini kes ini masih belum didengar dan dibawa ke muka pengadilan di mana-mana mahkamah.

"Perkara ini juga disuarakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Khas SPRM Datuk Johan Jaafar.

"Kita minta minta AG memberi penjelasan berhubung perkara ini. Amat pelik, isu wabak rasuah yang tidak dapat dikawal, tapi bila ditangkap dan disahkan ada kes, tiada pendakwaan," katanya dalam sidang medianya di ibu negara pagi ini.

Dilaporkan Panel Penasihat Perundingan dan Pencegahan Rasuah SPRM bimbang spekulasi dalam media berhubung dua bekas pegawai seorang menteri Kabinet yang belum didakwa di mahkamah seperti diumumkan sebelum ini.

Pengerusinya Datuk Johan Jaaffar berkata sebagai sebuah panel bebas, mereka bimbang dengan perkembangan itu kerana boleh menimbulkan spekulasi atau tanggapan mengenai campur tangan luar.

Sehubungan itu, Mahfuz yang juga ahli parlimen Pokok Sena mempersoal Gani sama ada kelewatan pendakwaan boleh membabitkan bekas menteri atau mana-mana tokoh politik yang lain.

“Kita minta peguam negara beri penjelasan. Kedudukan ini sangat penting bagi memastikan bahawa rasuah dapat diperangi habis-habisan," katanya.