S'gor dedah MOU air seminggu lagi
Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri akan mendedahkan kandungan Memorandum Persefahaman (MOU) penstrukturan semula air yang ditandatangani minggu lepas dalam tempoh seminggu.
Khalid berkata langkah itu diambil hasil persetujuan selepas pertemuannya dengan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Maximus Ongkilidi Putrajaya semalam, supaya rakyat dapat menilainya.
"Saya rasa tidak lama lagi ia akan dapat dibuka. Jawapan daripada menteri, perkara ini adalah maklumat umum dan tidak ada pengaruh (untuk menjejaskan) keselamatan negeri atau negara, dan ia boleh dilakukan.
"Menteri rasa ia boleh dilakukan sebab tidak akan memberi kesan kepada keselamatan negeri dan negara," kata Khalid selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri.
Ditanya sama ada memorandum itu sama seperti yang didedahkan oleh Rafizi dalam blognya, Khalid tidak berminat untuk mengulas lanjut.
"Saya tidak mahu bercakap jika tidak ada bukti. Kita ada peraturan tertentu dalam Akta Rahsia Rasmi.
“Saya tidak berminat untuk bercakap tentang dokumen itu, saya berminat untuk bercakap dokumen (Mou) yang akan dikeluarkan," katanya.
Sulit selagi belum ditetapkan
Turut hadir dalam sidang media itu, tiga exco termasuk Elizabeth Wong.
Elizabeth yang juga ADUN Bukit Lanjan berkata berdasarkan peruntukan Akta Kebebasan Maklumat (FOA), mana-mana perjanjian yang masih belum ditetapkan dianggap sebagai "sulit".
"Sebab itu kita beri komitmen, kita akan dedahkan apabila ia (telah) selesai," katanya.
Khalid juga memberitahu akan membentang Perjanjian Awal yang dipersetujui untuk ditandatangani antara kerajaan negeri dan pusat sewaktu pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam.
Khalid berkata perjanjian itu mengandungi maklumat lebih menyeluruh dan terperinci mengenai penstrukturan semula industri air Selangor dan akan dibentangkan selepas membentang MOU tersebut.
"Memandangkan Selangor sudah meluluskan Akta Kebebasan Maklumat, jadi, ia ada proses (untuk membentangnya)," katanya.
KDEB-kementerian draf perjanjian
Dalam sidang media itu juga, Khalid berkata Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KeTTHA) dan Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) akan bekerjasama menghasilkan draf Perjanjian Awal itu.
Beliau berkata perkara itu telah dimaklumkan kepada menteri bertanggungjawab Datuk Seri Maximus Ongkili dan Penasihat Ekonomi Selangor Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Perkembangan ini menunjukkan komitmen berterusan kedua-dua belah pihak terhadap persefahaman penstrukturan air Selangor yang telah ditandatangani minggu lalu," katanya sambil menambah Maximus menyatakan keinginan untuk hadiri majlis pecah tanah Hybrid Off Augmentation System (HORAS) 15 Mac depan.
"Kita yakin projek HORAS akan berjaya menyelesaikan masalah gangguan bekalan air, sementara menunggu siapnya Langat 2," katanya.
Katanya perjanjian itu antara lain akan menjelaskan secara terperinci antaranya peratus dan jangkaan pendapatan yang diperolehi.

