Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata 'Langkah Kajang' PKR untuk membolehkan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim terlibat aktif di Selangor, telah menjadi 'Kajang Coup'.

"Langkah Kajang yang asal, suruh calon dahulu letak jawatan, suruh orang lain (pula) bertanding. Itu jadi Kajang Coup," katanya.

Muhyiddin menjawab soalan pemberita berhubung kenyataan Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli bahawa Pakatan akan mengambil tindakan yang tegas termasuk mengadakan satu lagi pilihan raya kecil kerana mendakwa lawan politik (BN) memainkan isu perkauman dan agama.

"Apakah bermakna Rafizi nak permainkan sistem pilihan raya, demokrasi di mana (selepas ini) menyuruh beliau letak jawatan dan bagi orang lain bertanding," kata Muhyiddin dalam satu sidang media di Kajang.

Dalam sidang media pagi tadi, Rafizi dilaporkan berkata Langkah Kajang yang diuar-uarkan memberikan kayu ukur kepada Pakatan menangani cabaran perkauman dan agama termasuk di negeri Selangor, sekaligus tidak akan bertolak ansur jika perkara itu berulang.

Rafizi dilaporkan berkata: "Selepas ini, kalau berlaku, kita tahu apa nak buat. Rakyat Selangor teguh di belakang Pakatan untuk mengambil tindakan. Kita ada moral ground yang tinggi. Kalau menggunakan politik perkauman, jadi tindakan Pakatan akan menggunakan bahasa yang drastik, keras supaya (dapat) kita sekat."

Dalam sidang media itu juga, Muhyiddin berkata rakyat tidak boleh membiarkan tindakan mengadakan pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil semata-mata untuk memenuhi nafsu rakus pemimpin pembangkang, malah rakyat di Kajang perlu menghukum mereka.

"Pilihan raya umum sudah selesai. BN menang di peringkat negara. Kita nak laksanakan manifesto kita. Adalah menjadi satu perkara yang cukup malang, kalau orang seperti Rafizi, nak bawa mesej, pilihan raya kecil demi pilihan raya kecil. Sampai bila nak ada pilihan raya kecil.

"Kecuali sebab tertentu. Jadi apa muslihat dia. Ini nak menutup kelemahan dia, dia nasihat Anwar, suruh orang itu berhenti, Anwar bertanding. Sekarang apa jadi. Pengundi Kajang boleh jawab sendiri.

"Sekarang isteri dia pula bertanding. Kenapa pulak. Kenapa tidak orang lain. Mana perjuangan untuk membela keadilan. Mana?" katanya.

Ditanya sama ada Langkah Kajang itu telah gagal, Timbalan presiden Umno menyoal kembali di mana "langkah" PKR.

"Ya apa langkah dia. Asalnya Langkah Kajang untuk Anwar bertanding dan menjadi menteri besar.

"Cita-cita sudah terhalang dan berkecai. Tinggal angin. Tapi oleh kerana ada kekosongan, kita kena isi," katanya.

Muhyiddin juga menepis tanggapan bahawa Langkah tersebut diperkenal untuk mendapat sokongan di tempat yang lain sekaligus mempersoal tujuan PKR berbuat demikian.

Malah, katanya, pilihan raya umum sudah selesai dan BN menerima keputusannya termasuk tewas di negeri Selangor.

"Rakyat perlu hukum mereka semata-mata untuk memuaskan nafsu politik. Tak ada pilihan raya, mereka tak boleh hidup... Mereka sentiasa buat perkara ini untuk mereka terus hidup," katanya.

Sementara itu, dalam tinjauan di empat pusat daerah mengundi (PDM) dalam DUN Kajang, beliau telah mengumpul maklumbalas berhubung isu-isu yang dibangkitkan rakyat dan Pakatan.

Antaranya ia berkaitan isu kos sara hidup, isu hukuman terhadap Anwar dan Karpal Singh dan isu mempermain-mainkan kehilangan pesawat MH370.

Beliau juga menggesa jentera diperkuatkan supaya dapat menarik pengundi menyokong BN dalam pilihan raya kecil itu.