Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim bertikam lidah dengan Timbalan Menteri Luar Datuk Hamzah Zainuddin berhubung isu larangan tokoh PKR yang dilarang memasuki negara Jepun pada Februari lalu.

Ia berlaku ketika sesi penyataan lisan apabila Hamzah (BN-Larut) menjelaskan bantuan kerajaan melalui Kementerian Luar yang menulis surat kepada kedutaan Jepun dan imigresen negeri itu bagi memastikan kemasukan Anwar buat kali kedua pada 26 Februari lalu berjalan lancar.

"Itulah bantuan yang kerajaan berikan," katanya bagi menjawab lisan Shamsul Iskandar Md Akin (PKR-Bukit Katil) berhubung larangan Anwar memasuki Jepun pada 19 Januari disebabkan "laporan tertentu" yang diterima.

Bagaimanapun, menjawab soalan tambahan Abdul Rahman Mohamad (BN-Lipis) sama ada wujudnya 'tangan ghaib' berhubung larangan itu, Hamzah menegaskan perkara itu "tidak pernah wujud".

"Perkataan yang digunakan bahawa ada 'hidden hand' tidak pernah wujud. Kalau ada hidden hand seperti yang dimaksudkan oleh Bukit Katil tadi yang berprasangka buruk kepada kerajaan. Kalau benar ada, kita boleh buat sekali lagi pada 26 Februari lalu.

"Tapi kita jelaskan, kerajaan tak masuk campur, sebab itu bantuan kita berikan. Bantuan yang memudahkan ketua pembangkang sekali lagi masuk Jepun.

"Kalaupun (beliau) nak masuk sekali lagi Jepun, mesti kena tulis surat sekali lagi, seperti yang dibuat pada 26 Februari... Tak ada kena mengena dengan kementerian luar," katanya.

Hal demikian mengundang Anwar (PKR-Permatang Pauh) bangun dan memberi penjelasan dengan membidas kenyataan Hamzah itu bahawa kenyataan menteri mengelirukan Dewan Rakyat.

"Tak ada kelulusan khas yang diberikan. Tak ada permohonan kepada Kementerian Luar. Yang saya buat hanya makluman. Dan diluluskan tiada syarat baru. Seperti mana yang disebut oleh menteri, mengelirukan dewan.

"Saya tidak isi apa-apa borang. Diluluskan, disambut baik. Menteri luar Jepun cakap dengan pengerusi (Yayasan) Sasakawa, mohon maaf. Kalau Kementerian Luar kata beri kerjasama kita ucap terima kasih. Saya tidak ada masalah.

"Tapi jangan mengelirukan kata kita ada permohonan khas. Bohong. Tak ada kelulusan khas daripada Kementerian Luar," katanya.

Hamzah kemudiannya bangun dan memberi penjelasan bahawa apa yang beliau jelaskan berdasarkan surat yang terimanya daripada kedutaaan Jepun.

"Pasal apa saya nak tipu dewan, saya bukan orang yang suka menipu, cakap lain buat lain," katanya yang disambut dengan sorakan pemimpin BN dalam Dewan.

Anwar kemudiannya bangun dan berkata: "Surat dari Kementerian Luar Jepun, bukan surat daripada saya, yang dia sebut surat daripada saya. Saya tak tulis surat.

"Dia kata surat dari saya. Saya kata saya tak hantar. Surat Kementerian Luar Jepun tulis tak apa, saya ucap terima kasih, apa masalahnya," katanya.

"Saya jelaskan saya diterima masuk tanpa sebarang surat dari saya, surat dari Kementerian luar, boleh. Siapa kata tipu. Bangkit...Ini perangai Umno, tipu tak berani bangun," katanya diiringi dengan sorakan MP BN.

Hal demikian menyebabkan Hamzah bangun dan menafikan penglibatan Umno dalam isu tersebut yang kemudiannya ditenangkan dan dihentikan oleh Timbalan Speaker Datuk Ismail Mohamed Said.