UPR: M'sia tolak syor LGBT, hak tukar agama
Perkara berkaitan Lesbian, Gender, Biseksual dan Transgender (LGBT) dan hak menukar agama antara syor yang ditolak Malaysia dalam Semakan Berkala Sejagat (UPR), Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).
Menurut Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Mohamad Raimi Ab Rahim ( bawah, bersongkok ) yang menghadiri sidang itu Geneva bulan lalu, ia antara 45 syor yang ditolak.
Keseluruhan 232 cadangan dikemukakan.
"(Malaysia juga menolak) penghapusan hukuman mati dalam sistem perundangan negara, tolak hak tukar agama.
"Menolak juga pindaan kepada Akta Perhimpunan Awam dan lain-lain undang-undang pencegahan, kebebasan beragama secara mutlak temasuk hak menukar agama," katanya melalui SMS kepada Malaysiakini semalam.
Selain Raimi, ABIM menghantar Ketua Biro Undang-Undang Mohd Khairul Anwar Ismail untuk hadir dan memberi komen pada sesi 20 Mac di Switzerland itu.
Sementara itu, menurut Raimi, syor yang diterima Malaysia termasuk meningkatkan taraf dan peranan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam), menggerakkan Pelan Tindakan Hak Asasi Nasional (NHRAP) dan meningkatkan penyertaan wanita dalam proses membuat keputusan
Ingatkan 'implikasi negatif'
Selain itu, Malaysia juga akan meneruskan usaha mengukuhkan perpaduan nasional dan mempromosi toleransi antara kaum serta mempertimbangkan penambahbaikan urusan pentadbiran sedia ada untuk pelarian dan pemohon suaka.
Sementara itu, dalam kenyataan itu juga, Abim tidak menafikan prestasi hak asasi manusia di negara ini antara yang terbaik.
Namun, tambahnya, masih terdapat ruang untuk lebih ke depan dalam perkara tersebut.
NGO itu menegaskan, perjuangan hak asasi amat selari dengan konsep Maqasid as-Syariah untuk menjaga kepentingan setiap individu dari sudut pemeliharaan agama, nyawa, akal, harta, dan keturunan.
"Tetapi dalam masa yang sama Abim turut menyedari bahawa ia boleh juga memberi implikasi negatif terhadap masa depan negara dan agama terutamanya berhadapan dengan tekanan-tekanan antarabangsa terhadap syor-syor yang bertentangan dengan undang-undang, agama, budaya serta nilai di dalam negara," menurut kenyataan ABIM.
Gabungan NGO Malaysia (Comango) yang dikaitkan dengan tuntutan kontroversi dalam UPR pada 21 Mac lalu mendedahkan Malaysia menolak semua cadangan bagi menyertai enam konvensyen hak asasi manusia yang belum ditandatangani.
Gabungan itu juga menyatakan kekesalannya dengan penolakan terhadap pemansuhan hukuman mati walaupun paling banyak menerima cadangan itu.

