'Tak boleh ambil beberapa angka, rumus BN merosot'
Mengakui tinjauan Merdeka Centre bahawa ada sedikit peningkatan rasa tidak puas hati rakyat terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin mempertahan dan menegaskan kepercayaan pengundi terhadap bosnya masih pada paras 52 peratus.
"Kita anggap walaupun ada sedikit peningkatan rasa tidak puas hati tapi keyakinan responden pada tahap kecekapan kerajaan dalam mengendali pelbagai isu termasuk isu agama dan antara kaum masih di paras yang tinggi.
"Kita tidak boleh ambil beberapa angka dan (kata ini) rumusan bahawa sokongan kepada BN merosot. Kita juga terima banyak yang positif dalam tinjauan itu.
"Macam saya sebut tadi, seperti di pilihan raya kecil DUN Kajang, kita sedang melalui satu musim agak mencabar dengan kenaikan kos harga minyak, tarif elektrik dan sebagainya, sudah pasti ada kos politik terhadap kita. Kita sudah jangka ada kos politik. Tapi kita terpaksa buat," kata Khairy yang juga menteri beliau dan sukan.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tinjauan terkini Merdeka Centre pada bulan Mac bahawa 44 peratus daripada 1,005 responden memberi jawapan tidak berpuas hati dengan kepemimpinan Najib.
Ia menunjukkan peningkatan sebanyak empat peratus berbanding hasil tinjauan Merdeka Center pada bulan Disember.
Bagaimanapun kepercayaan pengundi kepada Najib kekal tidak berubah pada tahap 52 peratus.
Mengulas mengenai sokongan golongan muda kepada BN di Kajang, Khairy yang juga ketua Pemuda BN mengakui kemerosotan kumpulan itu disebabkan faktor nasional sekalipun jentera mereka lebih baik berbanding pilihan raya kecil DUN Sungai Limau.
Menurutnya, faktor kenaikan kos sara hidup telah menyebabkan penurunan sokongan dan ia telah dijangka hasil tinjauanyang dilakukan mereka.
"Tetapi kita memikirkan strategi yang kita boleh dilakukan untuk membantu naikkan sokongan (selepas ini).
"Mungkin musim politik sekarang ini melibatkan kos sara hidup, mungkin kita kena tingkatkan penerangan kita terhadap generasi muda supaya mereka memahami langkah kerajaan (untuk mengatasi masalah itu)," katanya.
Menurutnya lagi, pilihan raya kecil Kajang juga tidak memberi banyak peluang kepada BN memandangkan "tempat" dipilih oleh pihak lawan yang mempunyai sokongan banyak anak muda.
"Sudah tentu mereka memilih tempat yang mendapat ramai sokongan pengundi muda.
"Bagi saya, Kajang tidak memberi gambaran keseluruhan (kemerosotan pengundi muda) dan kita ambil iktibar," katanya.
Sehubungan itu, pihaknya akan menubuhkan makmal "BN Youth Lab 2.0" bulan ini bagi mengenalpasti dan mengkaji kecenderungan pengundi muda terhadap BN.
Mengulas sokongan golongan muda dalam PRK DUN Balingian, Khairy berkata sokongan mereka padu dan pihaknya akan memastikan sokongan mereka berterusan supaya Sabah dan Sarawak menjadikan 'simpanan tetap' pada BN dalam pilihan raya umum akan datang.

