Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menolak usul pembangkang untuk menubuhkan Jawatankuasa Terpilih Parlimen (PSC) untuk menyiasat insiden kehilangan pesawat Malaysia Airlines MH370.

MP Seremban Anthony Loke berkata beliau menerima jawapan dari pejabat Pandikar yang menyebut, usul untuk menubuhkan jawatankuasa itu ditolak kerana dikemukakan dalam cadangan pindaan usul menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong.

Katanya, keputusan Speaker untuk menolak usul tersebut dibuat pada hari Khamis lalu.

Menurutnya, Pandikar Amin memberitahunya bahawa cadangan penubuhan jawatankuasa tersebut adalah usul penting yang dikemukakan dalam usul persendirian.

"Oleh kerana isu itu adalah usul yang substantif, maka ada perlu kepada usul yang persendirian.

"Dengan usul substantif, kalau MP ingin mahu mencadangkan isu itu, perlu hantar notis kepada speaker 14 hari, mengikut peraturan mesyuarat 27 (3)," kata Anthony lagi yang membacakan jawapan tersebut kepada pemberita di bangunan Parlimen hari ini.

Anthony membaca peraturan tersebut, antara lain menyebut bahawa anggota parlimen perlu menghantar usul melalui notis dalam tempoh tidak kurang 14 hari kepada speaker.

Dan jika usul itu atas nama menteri, maka memadai pemberitahuan itu dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari.

Manakala sekiranya speaker berpuas hati dengan penjelasan menteri bahawa usul itu memberi faedah mustahak untuk dibahas segera, memadai notis itu dikeluarkan dalam tempoh sehari.

Anthony yang juga ADUN Chennah berkata memandangkan sidang parlimen bagi sesi ini akan tamat pada Khamis depan, tidak mungkin usul ahli parlimen dipertimbangkan kerana berdepan kekangan masa yang singkat.

"(Sidang parlimen) ada empat hari sahaja lagi. Tetapi kerajaan boleh (hantar) serta merta kerana boleh beri satu notis sahaja. Dan kerajaan boleh usul pada Isnin dan hari Selasa, kita bahas usul dan boleh tubuh PSC.

"Kita gesa kerajaan tidak melengahkan masa, (sidang) parlimen ada empat hari lagi. Kita harap kerajaan bentang usul itu pada minggu depan, sebelum hari khamis. Kita beri sokongan jika ada ada usul untuk tubuh PSC," katanya.