Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Speaker DUN Terengganu Datuk Zubir Embong menafikan khabar angin bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) itu dibubarkan susulan tiga wakil rakyat termasuk bekas menteri besar Datuk Seri Ahmad Said keluar Umno dan menjadi wakil rakyat bebas.

"(Itu) khabar angin. Tak betul. OK, terima kasih," kata Zubir ( kanan ) ringkas ketika dihubungi Malaysiakini kira-kira jam 1.22 petang ini.

Kemelut politik Terengganu kembali tercetus susulan jawatan menteri besarnya yang sebelum ini dipegang oleh Ahmad bertukar kepada exconya Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman dalam majlis angkat sumpah semalam.

Tidak lama selepas itu Ahmad dan juga ADUN Kijal mengumumkan keluar Umno dan menjadi bebas. Turut mengikuti jejaknya ialah ADUN Ajil Ghazali Taib dan ADUN Bukit Besi Roslee Daud.

Hal demikian menyebabkan kedudukan BN di Dewan Undangan Negeri tinggal 14 daripada 32 kerusi . Manakala Pakatan Rakyat menguasai 15 kerusi dan bebas pula 3 kerusi.

Umno negeri: Jangan burukkan keadaan

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno Terengganu Datuk Jailani Johari menyeru semua ahli Umno supaya tenang dan tidak mengambil tindakan yang boleh memburukkan lagi keadaan.

"Apa jua tindakan kita haruslah mengutamakan kepentingan parti.

"Saya harap semua ahli akan terus bersatu dan mendoakan jalan penyelesaian terbaik demi kepentingan semua," katanya dalam kiriman SMS kepada Malaysiakini .

SPR: Terpulang pada rundingan parti

Sementara itu, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dilaporkan berkata, DUN Terengganu hanya boleh dibubarkan dengan perkenan Sultan Terengganu.

Menurut beliau, SPR hanya akan masuk campur dalam hal ehwal pilihan raya jika DUN negeri itu dibubarkan, lapor Agenda Daily.

Mengulas krisis di Terengganu, kata Aziz ( kanan ), masa depan kerajaan negeri bergantung kepada parti politik dan ADUN berkaitan selepas BN tidak lagi memegang majoriti di DUN negeri.

“Ia terpulang kepada rundingan parti politik. SPR tiada ruang di sini. Saya tidak tahu apa yang akan terjadi.

"SPR akan campur tangan jika ada pembubaran DUN,” beliau dipetik sebagai berkata.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS