Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Aziz Kaprawi berkata mendapan di kawasan tempat letak kapal terbang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) seperti dilapor media adalah "dalam jangkaan Malaysia Airline Holdings Berhad (MAHB)".

Bagaimanapun, katanya insiden mendapan itu tidak mewujudkan satu masalah besar dan dapat diperbaiki dalam tempoh 24 jam sekali gus tidak menjejaskan operasi penerbangan di lapangan terbang itu.

"Mengenai mendapan yang berlaku itu adalah dalam jangkaan pihak MAHB kerana tanah (mendapan) yang dalam pembinaan itu dijangkakan akan dibuat penyelesaian.

"Dan mendapan-mendapan ini sehingga hari ini tidak mewujudkan masalah besar dan sehingga hari ini segala mendapan dapat diperbaiki dalam tempoh 24jam.

"Penerbangan-penerbangan di KLIA2 tak terjejas dengan mendapan berlaku kerana ia berlaku hanya di beberapa tempat yang tidak melibatkan keseluruhan di KLIA2," katanya di Dewan Rakyat.

Aziz (BN-Seri Gading] menjawab soalan lisan Sim Chee Keong (DAP-Bukit Mertajam) berhubung kenyataan Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilapor berkata berlaku kerosakan teruk di tempat letak kapal terbang seperti barang yang senang rosak.

Baru-baru ini, laporan media memetik Nur Jazlan sebagai berkata, MAHB dan Kementerian Pengangkutan perlu bertanggungjawab dan menyelesaikan masalah mendapan serta takungan air yang didakwa berlaku di landasan dan kawasan tempat letak pesawat di KLIA2.