Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menegur Majlis Peguam kerana membincangkan secara terbuka kandungan yang dirunding dalam Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional (NUCC).

Katanya, kandungan rundingan tersebut tidak harus didedahkan kerana ia merupakan perbincangan tertutup.

"NUCC bukan satu forum atau platform untuk bincang perkara itu (secara terbuka). Diadakan secara tertutup.

"Apa yang dilakukan oleh Majlis Peguam tidak selaras dengan tujuan NUCC ditubuhkan.

"Semua perbincangan secara tertutup, dan NUCC bukan badan muktamad. Kabinet dan kerajaan adalah badan muktamad," katanya.

Najib bagaimanapun tidak merujuk kepada mana-mana kenyataan Majlis Peguam secara khusus.

Sehubungan itu, Najib berkata Majlis Tertinggi Umno bersetuju untuk menubuhkan satu jawatankuasa kecil untuk mengkaji, memberi cadangan dan pertimbangan kepada kerajaan berkaitan Akta Keharmonian.

Najib berkata keputusan itu dibuat selepas memikirkan bahawa parti harus memberi pendapat serta cadangan dan pertimbangan berkaitan akta itu kepada kerajaan.

Presiden Umno itu berkata, jawatankuasa kecil itu akan diletakkan bawah Biro Perlembagaan dan Undang-undang parti

"Kita akan melihat daripada keseluruhan aspek perjuangan Umno, maksudnya dari soal kedudukan Islam, kedudukan orang Melayu dan kedudukan Raja-raja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di PWTC petang ini.

ADS