Perwakilan Wanita Kedah Datuk Dr Mashitah Ibrahim Mashitah menggesa perwakilan Wanita dan umat Islam supaya tidak menjadi 'majoriti senyap' apabila kewibawaan Islam tercabar.
 
Bekas timbalan menteri itu berkata beliau telah diberitahu bahawa terdapat dakwaan bukan Islam di sebuah negeri di utara membakar helaian al-Quran pada waktu sembahyang.
 
"Rasa tercabar atau tidak? Rasa sensitif atau tak? Rasa sedih atau tak??" soal Mashitah kepada para perwakilan ketika berucap menyokong usul agama, pendidikan dan sosial sempena perhimpunan agung Wanita Umno di PWTC petang ini.
 
Kemudian perwakilan Wanita menjawab mereka rasa "tercabar, sensitif, sedih dan geram".
 
"Kalau rasa begitu, kenapa tidak bersuara. Jangan diam. Mana suara kita di dalam media, di alam maya. Jangan jadi majoriti senyap. (Jangan biarkan) yang minoriti ini bercakap," tegasnya.
 
Tidak pasti sama ada dakwaan itu merujuk kepada kejadian seorang suspek dilaporkan ditahan selepas dipercayai membakar beberapa cebisan helaian al-Quran dalam sebuah tong aluminium di sebuah medan selera berdekatan Pasar Besar Alor Setar Khamis lalu.
 
Pemangku Ketua Polis Kedah Datuk Zakaria Yusof dilaporkan berkata suspek masih berada di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi menjalani rawatan berikutan dipercayai mempunyai
masalah mental dan siasatan masih diteruskan terhadap suspek. 
 
Sementara itu, Mashitah berkata kedudukan Islam dan hak orang Islam terus dicabar. 
 
"Selepas 57 tahun merdeka, kenapa jadi begitu? Adakah untuk memecah belah atau gimik politik orang tertentu, atau revolusi ICT dan globalisasi, atau agenda Islam dicemburui di Malaysia?" katanya. 
 
Sehubungan itu, beliau mengesyorkan supaya pelan strategik diwujudkan bagi memelihara umat Islam daripada dikelirukan dalam pelbagai termasuk dalam akidah dan budaya sejak akhir-akhir ini.
 
Beliau berkata pelan tersebut perlu diambil bagi mengelak daripada tindakan bermusim sekiranya kekeliruan itu tercetus di kalangan umat Islam.