Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail menepis saranan wartawan agar individu yang ditahan mengikut ISA kerana terlibat dengan sindiket mengeluarkan kerakyatan dibawa ke muka pengadilan.
 
Saranan itu dibuat susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja berhubung isu imigran Sabah bahawa lima orang saksi yang terlibat dalam sindiket tersebut ditahan bawah ISA.
 
“Sebelum ini mungkin orang bertindak (tanpa perlu) perbicaraan... Dan anda juga menyokongnya.
 
“(Akhbar) anda menyokong ISA, jadi janganlah sekarang beritahu saya anda mahu perbicaraan,” katanya ketika ditanya jika bekas tahanan itu akan didakwa.
 
Beliau bercakap kepada pemberita selepas pendedahan laporan itu semalam, enam bulan selepas dibentangkan ke Kabinet.
 
Lima orang saksi terbabit, kesemuanya bekas pegawai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) memberitahu RCI bahawa mereka mengeluarkan dokumen pengenalan diri Malaysia kepada pendatang asing tanpa izin supaya boleh didaftarkan sebagai pengundi.