Tiada pimpinan tinggi PAS mahu keluar Pakatan
Tidak ada seorang pun pemimpin tertinggi dalam PAS berpendirian mahu membawa parti itu keluar dari Pakatan Rakyat, tegas Datuk Mustafa Ali.
Malah Setiausaha Agung PAS itu berkata setakat ini beliau tidak mendengar sebarang usul yang mahu parti berkenaan dibawa keluar daripada Pakatan.
Bahkan katanya, beliau juga difahamkan dalam ucapan dasar Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam muktamar nanti, isu berkenaan juga tidak terkandung.
"Memandangkan tahun ini tahun pertandingan, ada pemilihan, biasalah dalam zaman media sosial ini, ia dimanfaatkan dan menjadikan pemilihan hangat sedikit. Saya akui.
"Tapi tiada ada seorang pun pemimpin tertinggi ada pendirian nak keluar daripada Pakatan Rakyat. Dan tidak ada kumpulan pro-Pakatan atau kumpulan anti-Pakatan," katanya.
Menurut Mustafa, walau blok mana pun yang menang dalam pemilihan PAS kali ini parti itu tidak akan keluar daripada Pakatan.
'Perang' dalaman PAS semakin penas ketika tarikh muktamar dan pemilihan semakin hampir.
Di satu pihak, wujud kumpulan yang digelar proulama yang dekat dengan Abdul Hadi, manakala di sisi lain ialah kumpulan moderat yang mahu kerjasama dengan Pakatan dipererat.
Hanya spekulasi
Namun di sebalik keadaan itu Abdul Hadi dan penyokongnya semakin kerap membuat kenyataan yang menimbulkan keresahan di kalangan parti lain dalam Pakatan, serta rakyat.
Antara kenyataan Abdul Hadi ialah membenarkan umat Islam memarahi DAP yang didakwanya menentang hudud.
Mustafa berkata, cakap-cakap mengenai PAS akan keluar daripada Pakatan hanyalah spekulasi.
Muktamar Dewan Pemuda PAS akan bermula di Dewan Jubli Perak, bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri di Shah Alam esok.
"Ada yang kata masa depan Pakatan bergantung kepada muktamar PAS kali ini. Itu tak betul," kata Mustafa dalam sidang medianya hari ini.
Bagaimanapun, katanya, jika ada anggota parti yang menggunaka saluran dengan mengemukakan usul tergempar dalam muktamar untuk membahaskan cadangan PAS keluar daripada gabungan pembangkang itu.
Menurutnya sebelum ia dibenarnya, cadangan itu perlu melalui proses kajian melalui Majlis Syura Ulama terlebih dahulu sebelum dibawa ke muktamar dan tidak boleh berlaku secara spontan..
"Kalaulah ada sebab (untuk PAS keluar Pakatan), ia tidak boleh ambil satu keputusan secara spontan. Mesti kajian daripada Majlis Syura Ulama.
Keputusan Majlis Syura
"Ia perlu dibincang secara syura bahawa ada kerjasama. Ia tidak semudah (itu untuk keluar). Kalau (Majlis) Syura pilih tidak maka tidaklah, tidak semudah itu," katanya.
Mengimbau sejarah strategi kerjasama politik dalam PAS, Mustafa berkata semua inisiatif bekas presiden PAS Datuk Fadzil Noor mengadakan kerjasama dengan parti politik dan NGO sejak tahun 1999 melalui Majlis Gerakan Keadilan Rakyat Malaysia (GERAK) dan menyertai Barisan Alternatif.
Bahkan, dalam konteks Pakatan Rakyat, ia terbina daripada tiga parti - PAS, PKR dan DAP - dan tiada parti boleh memaksa parti lain keluar gabungan itu sekalipun ia satu entiti seperti BN.
"Bagi PAS yang menjadi pelopor utama GERAK. Tidak semudah (PAS) nak meruntuhkan benda yang dia bina sendiri. Ia ada sentimental value yang tersendiri. Saya fikir PKR juga tidak mahu Pakatan berpecah.
"Tidak ada satu parti yang boleh arah parti lain keluar Pakatan. PAS tak boleh tinggal prinsi perjuangan. Tahalulf siyasi ada strategi," katanya sambil mengimbau sejarah DAP keluar Barisan Alternatif selepas tidak bersetuju dengan konsep 'Negara Islam' PAS.
Ditanya sama ada setakat ini, Majlis Syura Ulama sudah mengkaji kemungkinan PAS keluar Pakatan, Mustafa berkata:
"Tidak ada. Kalau ada mesti sudah sampai kepada saya. Saya tak terima (kajian mereka)."
Beliau berkata usul tergempar berkaitan isu yang mendesak melibatkan negara pernah dibentang dalam muktamar tetapi beliau "tidak tahu" sama usul isu PAS keluar Pakatan akan dibentangkan.
"Saya tidak mahu soalan andaian," katanya bagi mengulas soalan yang diajukan kalau usul tergempar itu dibentangkan dalam muktamar PAS di Kuala Selangor.

