Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat Datuk Mahfodz Mohamed menuduh ahli dan pemimpin PAS yang menjadi 'duri dalam daging' yang bersekongkol dengan rakan kerjasama politik mencemuh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Awang.

"Akhir-akhir ini kita melihat presiden PAS selaku nakhoda bahtera PAS dicemuh oleh rakan kerjasama politik.

"Puncanya kerana mereka gagal untuk memastikan kepimpinan tertinggi tunduk tehadap kemahuan dan kehendak mereka.

"Sangat malang apabila ada kalangan ahli dan pimpinan yang bersekongkol mengiyakan tohmahan rakan kerjasama politik, lalu menjadikan duri dalam daging melemahkan bahtera yang sedaang berlayar," katanya tanpa menyebut nama pimpinan yang beliau dimaksudkannya.

Menurutnya lagi ketaatan kepada pemimpin selaku nakhoda perjuangan merupakan pra-syarat kemenangan yang perlu dipertegaskan sebagai prinsip perjuangan dalam PAS.

Mahodz berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar Muktamar Dewan Ulama PAS bertajuk Prinsip Perjuangan Asas Nusrah Kemenanangan" di Taman Melewar, Gombak pagi ini.

Mengulas prasyarat kemenangan, beliau berkata kekuatan sesebuah gerakan Islam terletak kepada ketaatan ahli kepada kepimpinan atasan ketika waktu senang dan sukar.

"Namun baiah mengajar orang bawahan untuk mentaati arahan selagi ia tidak bercanggah dengan kehendak Allah, dan juga rasulnya.

"Di saat hilangnya ketaatan, lalu nakhoda sendirian dikecam dan dipertikaikan, dibiarkan untuk dicemuh oleh musuh dan rakan kerjasama politik maka organisasi menjadi lemah, kejayaan menjadi kabur.

"Untuk itu, pembaharuan kepimpinan perlu dilakukan. Muktamar Agung PAS kali ini memberi ruang untuk memperbaharui mandat kepimpinan menerusi proses pemilihan baru," katanya yang baru diumum sebagai ketua Dewan Ulama yang baru.