Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Muktamar Dewan Ulama PAS sebulat suara mencadangkan kepada Majlis Syura Ulama dan Jawatankuasa pusat PAS supaya membatalkan kerjasama dengan DAP tetapi kekal bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Rakyat.

Usul tergempar oleh ahli jawatankuasa Dewan Ulama Mokhtar Senik dibuat rentetan daripada serangan dahsyat DAP terhadap Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan parti itu.

"DAP dengan lantang menggugat kedudukan PAS dan presiden dengan mengisytiharkan memutuskan hubungan dengan presiden yang menjadi ayah kita dalam PAS.

"Kita tidak sanggup menyerahkan presiden kita dinodai parti rakan DAP. Keberanian DAP itu disebabkan setengah kita tidak memberi walak kepada presiden.

"Mereka masuk dalam rumah kita, cuba ganti ayah dalam rumah kita. Sikap DAP seolah-olah dia memimpin PAS dan cuba mengawal PAS, seolah-olah PAS tidak ada presiden," katanya.

Beliau mendakwa DAP cuba melakukan pencerobohan dalam PAS dengan cuba mengawal muktamar PAS dengan menghantar isyarat jika hendak mengukuhkan PAS dalam Pakatan, maka hendaklah mengekalkan kepimpinan pro-Pakatan.

"Jadi kita usulkan, putuskan hubungan dengan DAP tapi bukan dengan PKR dan Pakatan.

"Kita mahu menghantar isyarat bahawa parti Islam ini ada dasar dan prinsip," katanya.

Kemudian, Perwakilan Dewan Ulama Perak, Nor Azli Musa bangun untuk membahaskan usul tergempar itu dengan menyeru semua perwakilan bangunan sebagai tanda sokongan kepada usul tersebut.

Semua perwakilan yang hadir bangun dan mengucapkan takbir beberapa kali sehingga bergema di dewan Datuk Fadzil Monhd Noor di Taman Melewar, Gombak.

Usul itu kemudiannya diisytihar diterima sebulat suara oleh pengerusi tetap.

Selepas itu, perwakilan Kelantan Hassan Mahmood bangun mahu cadangan itu dipinda sedikit supaya Majlis Syura mengkaji kedudukan PAS dalam Pakatan dari sudut maslahah dan politik sebelum membuat keputusan itu.

Bagaimanapun Nor Azli kemudiannya bangun semula membantah syor Hassan memandangkan usul itu telah diterima sebulat suara.

Pengerusi tetap memutuskan cadangan memutus hubungan DAP dikekalkan tanpa pindaan.

Lihat Komen
ADS