Isu 1MDB: Lim harap pengerusi baru PAC 'gigih, gagah'
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menggesa Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) melaksanakan titah Majlis Raja-Raja Melayu yang mahu pihak yang terlibat dalam skandal 1MDB dikenakan tindakan.
"Majlis raja-raja kata mereka yang terlibat perlu diambil tindakan. Sekarang adalah masanya untuk memastikan titah raja-raja dapat dilaksanakan.
"Beranikah, beranikah PAC melaksanakan titah itu?” soalnya ketika membahaskan usul pelantikan pengerusi baru PAC di Dewan Rakyat petang ini.
Dalam perbahasan beliau juga, Lim berharap kepada pengerusi PAC yang baru Datuk Hasan Arifin melaksanakan tugas dengan "gigih dan gagah" untuk mengambil tindakan terhadap skandal itu.
Ia perlu demi menyelamatkan negara daripada skandal yang menurutnya antara sebab utama berlakunya kejatuhan nilai ringgit dan krisis kepercayaan rakyat, kata Lim
"Jika PAC tidak dapat menjalankan tugas, kita kesal mereka pecah amanah, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat.
"Kita harap MP Rompin (selaku pengerusi PAC), membuka kebebasan supaya semua pertanyaan dalam mesyuarat PAC dapat disoal siasat dengan bebas.
"Tidak ada usaha untuk menutup skandal, jika tidak habislah (rosak) negara kita," katanya yang juga setiausaha agung DAP.
Mesyuarat terbuka PAC
Lim turut mencadangkan kepada PAC supaya membenarkan mesyuarat jawatankuasa itu dibuka kepada orang awam memandangkan ia amalan yang dilakukan oleh 75 peratus negara-negara Komanwel.
"Adakan mesyuarat secara terbuka supaya orang awam mengikuti secara terbuka," katanya sambil menyatakan jika ia melibatkan perkara yang sulit, ia boleh diadakan secara tertutup.
Lim (
gambar
) turut mempertahankan anggota PAC daripada pembangkang yang dipalit dengan tuduhan membocorkan maklumat siasatan jawatankuasa itu sebelum ini.
Beliau yang juga ADUN Air Putih menyifatkan ia sebagai "tuduhan dan fitnah yang amat jahat".
"Sedangkan mereka memberikan sumbangan kepada negara iaitu memastikan sumber kewangan negara tidak dirompak oleh orang yang tidak bertanggungjawab," katanya.
Beliau turut memetik kenyataan bekas pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamad yang sebelum ini menegaskan tindakan membocorkan maklumat PAC "tidak mungkin berlaku".
Usul pelantikan pengerusi PAC itu dibahaskan oleh beberapa anggota parlimen kerajaan dan pembangkang kemudiannya diluluskan melalui undian belah bahagi, lebih suara MP menyokong usul itu.
Komen
PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
