Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata beliau mencadangkan supaya anggota Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengangkat sumpah kerahsiaan.

Beliau yang juga menteri dalam negeri berkata langkah itu perlu bagi menjaga rahsia dokumen dan perbincangan jawatankuasa itu termasuk perbezaan pandangan oleh anggota PAC dibincang di luar jawatankuasa itu.

"Saya telah mencadangkan supaya (langkah) mengangkat sumpah simpan rahsia mesti dilakukan oleh semua ahli PAC. Ini adalah untuk menjaga kerahsiaan semua yang telah saya nyatakan tadi.

"Namun apa yang telah diluluskan oleh pengerusi Jawatankuasa Pemilih (Tan Sri Pandikar Amin Mulia) ialah cadangan itu harus dirujuk kepada penasihat undang-undang untuk sama ada sumpah simpan rahsia ini boleh dilakukan atau tidak," katanya.

Zahid adalah anggota jawatankuasa pemilih bagi pihak kerajaan bagi memilih anggota PAC yang baru, berkata demikian dalam sidang medianya di pejabat timbalan perdana menteri di Parlimen.

Pemilihan anggota baru dibuat selepas anggota yang lama dilantik menjadi menteri dan timbalan menteri termasuk bekas pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed yang dilantik menjadi timbalan menteri dalam negeri.

Pelantikan tersebut menyebabkan siasatan PAC berhubung skandal 1MDB tertangguh lebih tiga bulan sehingga mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk tanggapan menyembunyikan berkaitan kes itu.

Pada hari Selasa, Dewan Rakyat bersetuju untuk melantik MP Rompin Datuk Hasan Arifin selepas dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Jawatankuasa Pemilih, Zahid juga berkata sebarang kenyataan atau laporan perlu dibuat secara rasmi oleh Jawatakuasa PAC berkenaan dan ia bukan pendapat peribadi mana-mana ahli PAC.

Selain itu, timbalan perdana menteri yang juga naib presiden Umno itu memaklumkan bahawa BN telah mengemukakan dua calon baru bagi menggantikan pemimpin yang tidak lagi menjadi anggota PAC.

"Ikut peraturannya secara rasmi Jawatankuasa Pemilih akan mengemukakan kepada persidangan Parlimen pada waktu yang sangat terdekat dan saya tidak perlu mengumumkan dulu," katanya.

Lihat Komen
ADS