Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kerajaan tidak bercadang untuk menaik taraf Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) menjadi sebuah pasar raya buat masa ini, kata Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Sebaliknya, katanya, kerajaan mahu memberi tumpuan untuk menambah kedai itu di seluruh 222 kawasan parlimen terlebih dahulu sebelum memikirkan cadangan menukarkannya kepada pasar raya.

"Buat sementara ini, kita nak memenuhi keseluruhan 222 kawasan parlimen di seluruh negara mempunyai kedai KR1M yang diwujudkan oleh kerajaan.

"Pada hari ini, ada 170 kedai KR1M telah kita wujud. Kita yakin dan percaya agar kewujudan (kedai itu) di seluruh kawasan parlimen (dapat) dilaksana.

"Untuk membuat naik taraf, peningkatan saiz dan sebagainya, mungkin selepas itu. Sasaran kita untuk adakan kedai KR1M di kawasan YB untuk membolehkan rakyat membuat pembelian barangan yang ditetapkan di kedai itu," katanya di Dewan Rakyat.

Ahmad Bashah (BN-Bakar Bata) menjawab soalan lisan Zainudin Ismail (BN-Jelebu) sama ada kerajaan bercadang untuk menaik taraf konsep dan penampilan KR1M sebagai pasar mini kepada pasar raya ataupun berada tahap itu buat selama-lamanya.

Ahmad yang juga timbalan ketua Umno Kedah turut mengakui sambutan rakyat berkurangan pada peringkat awal tetapi keadaan itu mula berubah.

"Dari segi penerimaan, kesan (kedai) KR1M diwujudkan di seluruh negara, dapat lihat sambutan yang diberi di luar bandar dan bandar. Pada awal berkurangan tapi (meningkat) dari tahun ke tahun. Kesan ketara sekali," katanya.

Tanpa mengkhususkan kedai KR1M yang terlibat, beliau berkata ada kedai tersebut yang mendapat hasil jualan yang mencecah sehingga dua hingga enam juta ringgit.

Lihat Komen
ADS