Pemilik hotel murah yang dituduh mengamalkan diskriminasi agama menafikan pihaknya menolak tetamu yang beragama Islam.

Seorang lelaki daripada Brunei mengadu di laman tempahan hotel Airbnb bahawa Raymond’s Boutique Travellers Home memberitahunya bahawa orang Islam tidak diterima.

Terkejut dengan dakwaan itu, pemilik hotel Raymond Bala mendakwa akaunnya di Airbnb mungkin diceroboh.

“Saya tidak tulis perkara itu. Tiada sekatan di hotel saya. Semua orang dialu-alukan.

“Sesetengah orang telefon saya untuk tanya sama ada ada bilik, dan selepas sah baru saya tanya nama mereka. Saya tidak rasis.

“Tiada pemilik perniagaan akan buat tindakan tidak masuk akal ini. Saya akan gembira jika seseorang tempah hotel dengan saya,” katanya kepada Malaysiakini .

Malah, katanya, baru beberapa hari lepas terdapat wanita bertudung menginap di hotelnya selain memberikan ulasan positif berkaitan hotel itu di laman tempahan seperti Tripadvisor dan Agoda.

Pengadu Dinie Hamizan mendawa di Facebook Airbnb bahawa pemilik hotel itu memberitahunya mereka bahawa orang Islam tidak diterima di situ.

Beliau juga memuat naik rakaman layar menunjukkan jawapan Raymond’s Boutique Travellers Home terhadap soalannya di Airbnb.

Jawapan itu antaranya meminta orang Islam “jangan ganggu rumah kami” kerana orang takutkan mereka.

[Baca berita asal]