Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan digesa tak sebar 'budaya ketakutan' isu pelajar kecam industri sawit

Kementerian Pendidikan digesa menghentikan sebarang tindakan yang mahu diambil terhadap sekolah antarabangsa yang pelajarnya baru-baru ini dalam membuat persembahan mengecam industri minyak kelapa sawit.

Kumpulan penyokong kebebasan berekspresi, Artikel 19 mengatakan bahawa sebarang tindakan yang diambil ke atas sekolah itu akan mewujudkan "budaya ketakutan" dalam kalangan pihak yang pandangannya berbeza dengan kerajaan.

"Kerajaan tidak boleh melarang kritikan dan pendapat, sebaliknya kerajaan mesti berhubung dengan pihak yang mengambil kedudukan yang berbeza," kata pegawai program Artikel 19, E Nalini kepada Malaysiakini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, Ramasamy juga menggesa kementerian pendidikan untuk mengambil inisiatif lain dan bukannya mengancam sekolah dengan tindakan tegas.

"Saya fikir di bawah kerajaan PH yang baru kita harus memberi keutamaan kepada tindakan memujuk dan bukannya kejam seperti BN.

"[...] Terdapat keperluan untuk memastikan sebab-sebab persembahan itu, mesej yang diberikan dan sama ada pelajar terdedah kepada maklumat yang betul atau persembahan itu mempunyai motif jahat dalam menyamakan penebangan hutan untuk kelapa sawit dengan kepupusan haiwan, " katanya dalam satu kenyataan.

Ramasamy berkata jika sekolah dihukum, ia akan turut menjejaskan pelajar.

Semalam, Ketua Pengarah Kementerian Pendidikan, Amin Senin berkata kementerian akan mengambil tindakan terhadap sekolah itu kerana didakwa "menyebarkan propaganda atau indoktrinasi yang mencemarkan nama dan imej negara".

"Penglibatan pelajar dalam aktiviti propaganda seperti itu jelas menentang dasar negara dan akan menjejaskan nama baik negara," kata Amin dalam satu kenyataan.

Amin berkata tindakan akan diambil terhadap sekolah itu di bawah Akta Pendidikan 1966.

"Kementerian juga akan mengeluarkan surat amaran kepada semua sekolah antarabangsa untuk memastikan perkara ini tidak berlaku lagi," katanya.

Dalam persembahan baru-baru ini, pelajar sekolah berkenaan berkata ladang kelapa sawit telah menyebabkan penebangan hutan dan mengancam orang utan.

"Sekiranya kita tidak melakukan perkara ini dan memastikan kelapa sawit tumbuh secara mampan, dalam masa 10 tahun, makhluk-makhluk yang indah ini boleh hilang dari dunia kita," kata seorang pelajar.

Semalam, Menteri Industri Utama Teresa Kok berkata Majlis Minyak Sawit Malaysia telah menghubungi sekolah-sekolah antarabangsa untuk bercakap dengan para pelajar mengenai minyak sawit tetapi ditolak.

Kata Kok, pendidik telah menyebarkan mesej "tidak benar dan bersifat sebelah pihak" kepada kanak-kanak dan mensabotaj usaha kementerian untuk mempromosikan minyak sawit dalam menghadapi boikot antarabangsa, kata Kok.

Malaysia telah beralih ke China untuk menghadapi kesan pelan Kesatuan Eropah untuk melarang minyak sawit, dengan China mengembangkan pembelian minyak kelapa sawit dari Malaysia sekitar 50 peratus kepada 4.7 juta tan tahun ini.

Tahun lepas, Malaysia mengeksport 3.07 juta tan kelapa sawit dan produk kelapa sawit bernilai RM8.38 bilion ke China.

Minyak sawit merupakan penyumbang terbesar pertanian kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia, yang membentuk RM44.8 bilion atau 3.8 peratus daripada KDNK pada tahun 2017.

Lihat Komen
ADS