Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Menteri: Beberapa peruntukan OSA akan dimasukkan ke Akta Kebebasan Maklumat

Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) akan dimansuhkan tetapi sebahagian peruntukannya akan dimasukkan ke dalam Akta Kebebasan Maklumat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong.

Liew menafikan kenyataan timbalannya Hanipa Maidin ketika sidang media di Parlimen pada 7 November lalu, bahawa kerajaan masih menimbang sama ada untuk memansuhkan OSA, menambah baik atau mengekalkannya, bersama-sama dengan cadangan Akta Kebebasan Maklumat.

"Ia tidak selaras dengan keputusan Kabinet," kata Liew merujuk kepada kenyataan Hanipa tersebut.

"Kita mungkin perlu kekalkan sejumlah peruntukan dalam OSA (ke dalam Akta Kebebasan Maklumat). Suka atau tidak, terutama dalam soal berkaitan keselamatan dan pertahanan, ada maklumat yang tak boleh didedahkan kepada awam," katanya.

Liew berkata demikian ketika ditemui pemberita di program National Stakeholders Consultation On The Right To Information Legislation di Putrajaya hari ini.

Liew was speaking to media on the sidelines of the National Stakeholders Consultation on the Right to Information in Putrajaya today. 

Pada 18 Julai lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Akta Kebebasan Maklumat akan dirangka bagi menggantikan OSA, dan jawatankuasa khas Kabinet berkenaan antirasuah sudah setuju secara prinsip bahawa masa yang mencukupi perlu diberi untuk proses merangkanya.

Dalam jawapan parlimen 7 November lalu, Hanipa antara lain berkata beliau tiada masalah dengan OSA tetapi berpandangan ia telah disalah guna oleh pentadbiran lalu.

"Saya secara peribadi berpendapat, akta rahsia rasmi tidak mempunyai masalah. Dulu (kerajaan BN) OSA telah disalahgunakan untuk melindungi kezaliman, penyalahgunaan kuasa, bukan melindungi maklumat sulit.

"Sekarang kita mencari keseimbangan untuk menyelesaikan masalah itu," katanya.

Lihat Komen
ADS