Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Pekerja asing elak saringan Covid-19 jika akan ditahan'

Pengumuman kerajaan bahawa semua pekerja asing tanpa dokumen di kawasan perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) akan ditempatkan di depoh tahanan imigresen hanya akan menyukarkan pengesanan jangkitan Covid-19 dalam komuniti itu.

Menurut pengarah North South Initiative, Adrian Pereira, pengumuman oleh Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob pada Rabu lalu akan menyebabkan imigran yang tinggal di luar kawasan PKPD takut untuk mendapatkan rawatan.

Katanya, kenyataan Ismail itu mensia-siakan usaha NGO untuk menyakinkan komuniti tanpa dokumen itu tampil melakukan ujian saringan.

“Ini gila. Ia benar-benar langkah 'bunuh diri' kerana apabila imigran lain (tanpa dokumen) dengar ini, mereka akan bersembunyi.

“Kami sedang membina kepercayaan mereka untuk pergi mendapatkan rawatan. Kami beritahu mereka bahawa doktor tak akan tangkap mereka, dan motivasi mereka untuk pergi mendapatkan bantuan (perubatan) adalah kerana yakin bahawa tiada tindakan undang-undang ke atas status mereka.

“Ketakutan itu memang benar-benar ada, dan kenyataan ini (Ismail Sabri) hanya akan memaksa mereka semakin jauh menyembunyikan diri,” katanya.

Pereira menambah, menempatkan tahanan di depoh tahanan yang tidak bersih dan sedia sesak, hanya akan meningkatkan risiko jangkitan.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Dr Noor Hisham Abdullah berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan merawat dan melakukan ujian tanpa diskriminasi.

Bagaimanapun, katanya, sama ada tindakan akan diambil terhadap pendatang asing tanpa dokumen selepas mereka diuji, terserah kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Kes positif Covid-19 di beberapa kawasan PKPD kebanyakannya terdiri daripada pendatang asing, seperti Menara City One (41 daripada 55 kes), Selangor Mansion (151 daripada 168 kes) dan Malayan Mansion (10 daripada 12 kes).

PKPD dikenakan di kawasan sekitar pasar borong Kuala Lumpur susulan kematian seorang lelaki warga Myanmar berusia 36 tahun, yang meninggal dunia disebabkan Covid-19 pada hari sama dia datang mendapatkan rawatan pada 18 April.

Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada dia pendatang asing tanpa dokumen atau bukan.

Tiada angka rasmi jumlah keseluruhan pekerja asing di Malaysia, termasuklah yang tidak mempunyai dokumen sah.

Bagaimanapun, para pengkaji menganggarkan sekurang-kurangnya 3.8 juta pekerja asing berada di negara ini, iaitu suku daripada tenaga kerja negara.

[Baca berita asal]


Lihat Komen
ADS