Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
TV Pertiwi disingkir dari TikTok kerana 'maklumat salah'

Akaun TikTok milik WebTV, TV Pertiwi bukan disekat kerana arahan kerajaan tetapi kerana berulang kali melanggar garis panduan komuniti platform itu.

Malaysiakini difahamkan daripada TikTok bahawa akaun TikTok TV Pertiwi diharamkan kerana berulang kali melanggar Garis Panduan Komuniti TikTok.

Pelanggaran ini melibatkan kandungan yang mengandungi maklumat salah yang berbahaya dan boleh menimbulkan kemudaratan.

Difahamkan penjelasan mengenai punca akaun tersebut disekat telahpun dinyatakan dan pelanggaran seterusnya boleh mengakibatkan pengharaman akaun.

Tidak jelas siaran mana yang telah melanggar piawaian komuniti TikTok.

Kandungan sama pada platform yang berbeza

Semalam, TV Pertiwi menuntut penjelasan daripada TikTok dan kerajaan berhubung sebab akaun itu disekat oleh platform tersebut.

Dalam satu kenyataan, ia mempersoalkan mengapa kandungan sama yang dimuat naik di Youtube dan Facebook tidak melanggar piawaian komuniti. Bagaimanapun, setiap platform mempunyai garis panduan berbeza untuk pengguna.

TV Pertiwi berkata akaun TikTok tersebut mempunyai 60,000 pengikut dan 600,000 tanda suka.

Ia juga telah memulakan akaun TikTok baru semalam, yang pada masa berita ini ditulis, masih boleh diakses.

TV Pertiwi tidak menyatakan siapa pemiliknya.

Bagaimanapun ia beroperasi daripada tempat yang sama dengan Ikatan Muslimin Malaysia. Pengerusinya Norzila Baharin juga berkhidmat sebagai ketua Wanita NGO itu.

Berpangkalan di Bangi, media yang dilancarkan pada 2021 itu menyiarkan laporan dalam bentuk teks dan video dalam bahasa Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Fahmi Fadzil memberi jaminan bahawa tiada laman web berita akan disekat oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia(SKMM).

Bagaimanapun, Fahmi juga berkata dia tidak tahu keputusan SKMM menyekat UtusanTV, yang merupakan serpihan daripada organisasi berita, Utusan Malaysia.

Lihat Komen
ADS