Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem) menggesa kerajaan merangka satu pelan B atau pelan kecemasan bagi menghadapi suasana ekonomi yang tidak menentu, antaranya akibat kemungkinan kenaikan harga minyak berterusan.

"Dalam suasana seperti ini, apakah langkah lebih lagi yang kita buat dan boleh ambil untuk memastikan kesejahteraan rakyat dan kesihatan ekonomi negara (agar) sentiasa dapat dipertahankan," kata pengerusinya Tan Sri Rahim Tamby Chik.

"Pelan A adalah apa yang kita buat sekarang untuk menghadapi suasana ekonomi negara kita yang tidak menentu kedudukannya kerana terdapatnya unsur kenaikan harga petroleum, bersamanya harga barang-barang di dalam negara.

"Dalam pelan B ini hendaklah ditentukan jika suasana ekonomi terus dilanda kenaikan minyak, misalnya terdapat ramalan harga minyak naik sampai US$200."

Tambahnya, kerajaan wajarlah merangka pelan B ini yang bersifat proaktif, menjangka lebih awal dan memandang ke depan.

"Kalau pelan A, kita berusaha membendung kesusahan rakyat. Jika ini tidak menampung suasana ekonomi yang tidak menentu, maka pelan B menjadi langkah seterusnya," kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu.

Beliau mengulas isu berkenaan di sidang media selepas perasmian Konvensyen Ekonomi Bumiputera 2008 yang disempurnakan oleh perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Pusat Dagangan Dunia Putra, petang ini.

Sebelum itu, dalam ucapannya di majlis itu, Rahim mengkritik Agenda Ekonomi Malaysia yang diuar-uarkan oleh penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai "tidak sesuai dijalankan di Malaysia".

Menurutnya, agenda ekonomi itu yang berdasarkan kesamarataan antara kaum ala konsep "Malaysian Malaysia" tidak sesuai diamalkan di negara ini.

"Dasar-dasar Agenda Ekonomi Malaysia ditolak oleh semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau menyokong sepenuhnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) dan mengkritik pihak yang mempertikaikan dasar tersebut.

"DEB telah membawa perubahan positif, kemakmuran dan menambah rezeki rakyat Malaysia," katanya.

Konvensyen bertemakan 'Melonjakkan Ekonomi Bumiputera' berlangsung selama dua hari dan akan berakhir esok.

Ia dihadiri kira-kira 600 peserta termasuk ahli-ahli politik, ahli akademik dan profesional Melayu.

Timbalan perdana menteri Datuk Seri Najib Razak dijangka menyempurnakan majlis penutupan konvensyen tersebut.

ADS