Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

kemaskini 5:58pm PAS menolak sebarang kerjasama dengan Umno atau BN bagi membentuk kerajaan campuran sama ada di peringkat negeri atau pusat, kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

"Oleh itu, itu sebarang tawaran daripada Umno untuk mewujudkan kerajaan bersama di semua peringkat tidak lagi berbangkit," katanya.

Keputusan itu dicapai selepas pertemuan khas hampir lima jam barisan pemimpin tertinggi PAS bagi meredakan kehangatan kontroversi rundingan sulit dengan Umno sejak beberapa minggu, khususnya selepas pengakuan Abdul Hadi awal bulan ini.

Mesyuarat dua badan tertinggi parti itu - jawatankuasa pusat dan majlis syura ulama - melibatkan hampir 50 pemimpin parti, termasuk mursyidul amnya Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dan semua wakil PAS yang bertemu perdana menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Selain timbalan presiden Nasharuddin Mat Isa, pertemuan pertama peringkat tertinggi Umno-PAS sejurus selepas pilihanraya umum 8 Mac turut disertai pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Mustafa Ali dan timbalan pesuruhjaya PAS Selangor, Ir. Khalid Samad.

Khalid bertindak mewakili pesuruhjayanya Datuk Dr Hassan Ali yang hadir dalam pertemuan lebih awal dengan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

Pertemuan yang bermula jam 10 pagi diadakan di ibu pejabat PAS di Kuala Lumpur.

abdul hadi awang pc on pas umno talks 310708 Dalam sidang media selepas mesyuarat besar itu, Abdul Hadi juga berkata PAS akan terus memainkan peranan aktif bersama Pakatan Rakyat dan "mengajak ahli-ahli Parlimen Umno menyertai gabungan itu, khususnya bersama PAS atau PKR."

Abdul Hadi - yang mengakui memberi restu kepada rundingan sulit dengan Abdullah dan Dr Mohamad Khir - berkata PAS masih terbuka kepada sebarang perbincangan dengan mana-mana pihak, termasuk Umno.

"PAS akan terus terbuka untuk mengadakan perbincangan dengan semua pihak termasuk parti-parti politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), institusi dan individu demi untuk kepentingan negara dan ummah," katanya lagi.

Pertemuan pertama seumpamanya itu diadakan selepas cadangan kontroversi Nik Abdul Aziz agar dua parti itu dibubarkan jika serius mahu bekerjasama dan Umno harus menerima pelaksanaan hudud jika mahu teruskan dialog.

Ia juga diadakan selepas wujud tawaran terbuka Umno Perak untuk membentuk kerajaan campuran di negeri itu.

Siri pendedahan media tentang rundingan tertutup PAS-Umno mutakhir ini mendorong ketua penerangan PAS Mahfuz Omar mohon maaf secara terbuka awal minggu ini kerana pernah menafikan pertemuan sulit dua parti itu.

Isu perkongsian kuasa disahkan sendiri oleh perdana menteri dan Dr Mohamad Khir walaupun PAS dan pembangkang menganggap ia usaha Umno memecah-belahkan sokongan terhadap Pakatan Rakyat.

Kehangatan perbincangan isu ini mendorong kira-kira 50 wartawan dan jurugambar bergegas ke bangunan di Jalan Raja Laut menunggu keputusan terbaru PAS.

Turut hadir di sidang media itu, setiausaha agung PAS Datuk Kamarudin Jaafar dan ketua Muslimat, Nuridah Salleh (foto atas) .

Mengulas sama ada muqabalah dengan Umno akan diteruskan, presiden PAS berkata:

"Saya dah sebut tadi pertemuan (perbincangan). Yang kita tidak khususkan kepada Umno, tapi semua parti-parti politik dan NGO. Ini amalan PAS sejak dulu hingga sekarang."

Ditanya tindakan yang akan diambil kepada mana-mana pimpinan yang mungkin mengadakan pertemuan secara sulit dengan Umno pada masa depan, beliau berkata:

"Tidak ada sulit lagi. Kita menyatakan boleh diadakan pertemuan. Dan pertemuan ini sudah tentu akan dimaklumkan kepada parti. dan selama ini pun dimaklumkan kepada parti."

Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, menjelaskan PAS akan membela sesiapa sahaja termasuk ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dituduh meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Sehubungan itu, Abdul Hadi menggesa kes tokoh pembangkang itu diselesaikan di mahkamah syariah.

"PAS sebuah parti Islam tetap menyatakan bahawa isu tersebut hendaklah diselasaikan mengikut syariat Islam.

"Dan saya rujuk perkara kepada Perlembagaan (Persekutuan) Perkara 121 A1, kes yang berkaitan dengan orang Islam, harus dirujuk kepada mahkamah syariah. Sekiranya tidak boleh, Umno kena buat perubahan," katanya.

Mengulas kedudukan pengundi bukan Islam yang memberi sokongan parti itu dalam pilihanraya lalu, Abdul Hadi berkata PAS terus menghargai sokongan mereka dan bercadang memberikan lebih peranan dalam arena politik.

ADS