Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) sedang mengisi borang permohonan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah bagi membina di lokasi ganti di Bukit Dagang di bawah skim perumahan negara.

Setakat ini 123 penduduk yang telah mendapat geran tapak rumah di kawasan ganti tersebut.

Daripada jumlah tersebut, 48 telahpun membuat permohonan dan mendapat kelulusan daripada SPN.

SPNB merupakan syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk menyediakan rumah mampu milik yang berkualiti untuk semua keluarga di seluruh Malaysia selaras dengan objektif perumahan negara.

Menurut ketua Umno cawangan Kampung Baru Plentong Tengah, Mohd Shaari Mohd Sham, SPN memperuntukkan tiga hari, mulai semalam untuk membolehkan baki 262 lagi mengisi permohonan tersebut.

Katanya, para pegawai SPN tiba petang semalam, selepas pihak pemaju melancarkan operasi merobohkan rumah di situ.

Bagaimanapun, operasi semalam hanya membabitkan perobohan kira-kira 20 buah rumah di situ yang tidak berpenghuni.

Projek komersial

Kampung Baru Plentong Tengah merangkumi kawasan seluas 113 ekar dan didiami oleh lebih 2,000 penduduk sejak 25 tahun lalu.

Bagaimanapun, ia telah diserahkan kepada pemaju untuk dibangunkan dengan projek komersial.

Sementara itu, Mohd Shaari berkata, satu taklimat khas akan diadakan pada 19 Oktober ini untuk memberi penerangan kepada penduduk mengenai penempatan di Bukit Dagang.

Taklimat tersebut akan diadakan diadakan perkarangan surau Kampung Baru Plentong pada jam 2.30 petang.

Antara wakil agensi yang hadir adalah dari Jabatan Hal Ehwal Khas, Kementerian Penerangan; Pejabat Tanah, Majlis Keselamatan Negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Jabatan Perumahan Negara.

"Mereka akan memberi penerangan secara terperinci tentang isu ini supaya penduduk tidak keliru dan mendapat kefahaman dan gambaran yang jelas," katanya.

Di samping itu, kata Mohd Shaari, Jabatan Perumahan Negara juga akan memberi penerangan mengenai isu rumah penempatan sementara, yang ditawarkan kepada penduduk terbabit.

ADS