Umno Perlis mahu dua ahli MT
Datuk Zahidi Zainul Abidin menawarkan diri bertanding ahli Majlis Tertinggi dalam pemilihan parti itu Mac depan selepas gagal mendapat pencalonan bagi jawatan ketua Pemuda Umno.
Beliau, yang juga timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perlis, berkata keputusannya dibuat susulan mesyuarat perhubungan bagi menambah keanggotaan negeri itu dalam MT, selain yang disandang Datuk Seri Shahidan Kassim.
"Badan perhubungan memutuskan Datuk Seri Shahidan dan timbalan pengerusi bertanding untuk jawatan MT," kata Zahidi kepada Malaysiakini petang ini.
Semalam Zahidi, juga ketua bahagian Padang Besar, menarik diri daripada persaingan jawatan nombor satu pergerakan Pemuda setelah tidak mendapat pencalonan kecuali daripada bahagiannya sendiri.
Sabtu lalu, Zahidi mempertahankan jawatan ketua bahagian Padang Besar, apabila berjaya menewaskan ahli parlimen kawasan itu Datuk Azmi Khalid dengan kelebihan 19 undi.
Sementara itu, setakat hari ini, Datuk Mukhriz Mahathir mendahului pencalonan ketua Pemuda dengan 62 sokongan, meninggalkan ahli parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin (37 pencalonan) dan bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo (29).

