Forum PKR bincang isu kemunduran wanita
dikemaskini Wanita negara ini tidak diberikan peranan yang strategik dalam pentadbiran selama separuh abad sejak kemerdekaan menyebabkan mereka sering dilihat kebelakang dalam masyarakat dan politik Malaysia, kata bekas ketua Wanita PKR Fuziah Salleh.
Tambahnya, kelemahan peranan wanita ini disokong oleh persepsi masyarakat yang terperangkap dengan kerangka pemikiran lama seperti ditanamkan oleh Wanita Umno selama tempoh tersebut.
Bercakap dalam program dialog wakil-wakil rakyat Wanita PKR di Shah Alam malami tadi bersempena kongres tahunan pergerakan itu, Fuziah menambah, Wanita PKR tidak sama dengan wanita Umno kerana mereka mahu berperanan di peringkat arus perdana dan bukan penyokong sahaja.
"Kita tidak boleh membiarkan perkara ini berterusan. Wanita PKR mahu memecah tembok minda (tersebut) dalam mempelopori perubahan dan berada di barisan hadapan di dalam membawa perubahan ini," katanya, yang juga ahli parlimen Kuantan.
Forum tersebut juga turut dihadiri ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin, timbalannya Rodziah Ismail, naib ketuanya Haniza Talha, exco pergerakan itu Elizabeth Wong, ahli parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar dan wakil rakyat Rawang, Gan Pei Nei.
Forum bertajuk "Menggerak Wanita ke Arah Arus Perdana Politik" dipengerusikan oleh bekas wartawan penyiaran Tengku Elida Bustaman dan dihadiri kira-kira 300 perwakilan dan wakil media.
Mengulas lanjut perkara tersebut, Elizabeth yang juga wakil rakyat Bukit Lanjan berkata, hambatan yang masih mengekang kemajuan wanita dalam politik berbanding ekonomi ialah masih terdapat pemikiran gaya lama yang menyatakan lelaki harus menjadi ketua dan memimpin di peringkat bahagian parti.
"Wanita PKR harus bersedia menjadi calon (pilihanraya) atau ketua bahagian," kata Elizabeth, dengan menambah wanita sendiri perlu memecahkan belenggu tersebut atau hala tuju mereka tidak akan ke mana-mana.
Beliau, yang juga exco pelancongan Selangor, mencadangkan kursus kepimpinan diberikan kepada Wanita PKR agar mereka berasa lebih yakin menerajui parti.
Pengurusan kewangan yang telus dan berintegriti dalam kalangan Wanita PKR juga disentuh.
Nurul Izzah wanita PKR boleh terdedahkan kepada politik wang dan rasuah untuk meraih pengaruh dan sokongan jika mereka mempunyai akses kewangan yang besar.
Bagaimanapun, tambahnya, kekurangan sumber kewangan benar-benar mencabar seseorang ahli parlimen Pakatan Rakyat untuk berkhidmat kepada masyarakat.
Haniza, yang juga exco kerajaan Selangor, menyarankan pengurusan kewangan yang bijak dan menghindari pendekatan populis untuk meraih sokongan rakyat.
Di forum itu juga, isu penyalahgunaan jentera kerajaan untuk kepentingan kerja-kerja parti turut dibangkitkan.
"Jangan guna sedikitpun jentera kerajaan atas nama parti," kata Zuraida, yang juga ahli parlimen Ampang.
Amalan ini menjadi satu dasar pentadbiran Selangor, katanya, seperti ditekankan oleh menteri besarnya Tan Sri Khalid Ibrahim.
Fuziah menyatakan sokongannya dengan menyatakan perlu wujud garis pemisah antara kerja-kerja parti dengan tugas-tugas seorang exco kerajaan supaya jentara kerajaan tidak dipergunakan sewaktu menjalankan kerja-kerja parti.
Forum itu turut menyentuh usaha pemberdayaan komuniti wanita di kawasan-kawasan yang dimenangi oleh wakil-wakil rakyat PKR.
Rodziah, seorang lagi exco kerajaan Selangor, menjelaskan dialog bersama masyarakat perlu untuk memastikan segala permasalahan dapat diselesaikan, selain melatih mereka membuat keputusan kepemimpinan.
Mengulas hubungan emosi wanita, Fuziah menjelaskan tidak ada kajian yang menyatakan wanita lebih beremosi daripada lelaki.
Katanya, keadaan emosi bergantung kepada respons wanita dalam situasi tertentu yang mereka hadapi dan bagaimana mereka mengawalnya apabila berdepan dengan sesuatu masalah.
Fuziah yang berkelulusan psikologi dan pentadbiran turut diajukan persoalan ciri-ciri pemimpin wanita yang dikehendaki.
mengulas isu yang sama, Gan turut menyarankan wanita mempelajari cara-cara untuk mengurus emosi mereka.
Majlis tersebut diakhiri dengan tayangan klip video perjuangan presiden PKR Datuk Seri Wan Azizah wan Ismail yang disifatkan sebagai "wanita pertama Malaysia yang keenam".

