Ambil berat pandangan bahagian...
Pemuda Raub mahu kepimpinan Pemuda Umno mengambil berat dan bersungguh-sungguh berusaha menanam semangat cintakan Umno di kalangan anggota masyarakat.
Ketua Pemudanya, Aris Fadzilah Abu Samah berkata, program Pemuda harus disasarkan ke arah mengambil hati anak muda - sejak mereka masih kecil hinggalah ke peringkat univerisiti.
"Tengok PAS yang mengambil berat terhadap anak-anak muda. Mereka memperkenalkan (tentang parti itu) dengan pelbagai cara," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Sebagai contohnya, katanya, PAS memperkenalkan Tadika PASTI – pendidikan pra-sekolah – untuk menanam semangat terhadap anak-anak tentang perjuangan parti itu sejak mereka kecil lagi.
Aris berkata, sikap anak muda yang melupakan jasa dan perjuangan pemimpin Umno dahulu, merupakan antara sebab anak muda tidak mahu bersama dengan Umno.
“Adakah anak-anak muda sekarang memikirkan generasi perwaris selepas mereka?” soalnya.
Pulihkan perpaduan
Sehubungan itu, kata Aris, Pemuda harus menambahbaik programnya untuk menyedarkan anak muda betapa pentingnya perjuangan Umno kepada mereka.
“Pemuda Umno harus mengambil berat tentang anak muda sekiranya mahu mengembalikan semangat mereka untuk menyokong Umno. Pengisian semula dalam parti adalah penting,” tambahnya.
Sehubungan itu, Aris mencadangkan kepada calon ketua Pemuda Umno yang terpilih Mac depan, agar lebih banyak menumpu dan mengambil berat pandangan bahagian.
“Ambil berat suara akar umbi di peringkat bahagian. Ini kerana, lain bahagian, lain masalahnya.
“Jangan hanya arahan datang dari atas, yang di bawah teruk buat kerja,” kata ketua Pemuda Raub itu, sambil mengingatkan calon-calon ketua Pemuda agar mengotakan janji-janji mereka selepas dipilih memimpin pergerakan itu nanti.
Beliau juga menggesa calon ketua Pemuda agar menguatkan kembali perpaduan dalam parti setelah kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya Mac lalu.
Beliau berkata, kekalahan BN menyebabkan berlakunya tuduh menuduh antara parti-parti komponen, yang menuding jari ke Umno sebagai punca kekalahan BN.
Politik wang
“Sepatutnya, bila kita kalah, kita kena bersatu padu, bukan salahkan satu sama lain,” kata Aris sambil menegaskan bahawa Pemuda harus diperkasakan untuk berdepan dengan pilihanraya yang ke-13 kelak.
Mengulas mengenai politik wang setiap kali tibanya waktu pemilihan parti, beliau berkata, tidak ada takrifan yang jelas tentang politik wang.
Aris berkata, sekiranya diberikan duit sebanyak RM 20,000 kepada beliau untuk menentukan calon, ia mungkin dinamakan politik wang.
“Tetapi sekiranya berjumpa (dengan perwakilan) dan belanja makan adakah itu dinamakan politik wang?” soalnya.
Menurutnya, pewakilan Pemuda akan berada di kelas bawahan jika mudah dipengaruhi dengan wang.
Sebaliknya, kata Asri, perwakilan mesti matang untuk memilih pemimpin untuk kebaikan parti.
“Bagaimana kalau salah letak pemimpin (kerana wang)? Apa yang terjadi dan apa yang akan terjadi?” tambahnya.

