Cadangan supaya kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau di Kedah dipulangkan kepada Umno dalam pilihanraya kecil akan datang, hanyalah pandangan Umno bahagian Merbok, kata Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah, Datuk Seri Mahdzir Khalid hari ini.

"Apa-apa keputusan ditentukan oleh pucuk pimpinan Barisan Nasional (BN) negeri. Badan perhubungan Umno Kedah akan menerima siapa saja calon yang dipilih," kata beliau yang juga pengerusi BN Kedah.

Semalam, Umno Bahagian Merbok mencadangkan agar calon daripada Umno dipilih untuk bertanding dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau kerana jumlah pengundi Melayu melebihi 50 peratus.

Dalam pilihanraya umum lalu, DUN tersebut mempunyai 34,977 pengundi, iaitu 17,607 pengundi Melayu, 9,688 pengundi India, 7,386 pengundi Cina dan 296 pengundi keturunan lain.

Ketuanya Datuk Tajul Urus Md Zain dilaporkan berkata kerusi DUN Bukit Selambau pernah diwakili oleh Umno sebelum ia diberikan kepada MIC selama empat penggal.

Kerusi DUN Bukit Selambau yang terletak dalam kawasan Parlimen Merbok, kosong ekoran peletakan jawatan wakil rakyatnya V Arumugam Isnin lalu.

Dalam pilihanraya umum Mac lalu, Arumugam yang bertanding sebagai calon bebas, mendapat 13,225 undi, mengalahkan calon BN daripada MIC S Krishnan yang memperolehi 10,863 undi.

Beliau kemudiannya menyertai PKR dan dilantik sebagai anggota exco kerajaan negeri sebelum meletakan kedua-dua jawatan itu atas alasan tidak tahan dengan ugutan pihak tertentu yang memaksa meninggalkan PKR dan menyertai BN.

Awal bulan ini, Arumugam telah membuat laporan polis mendakwa, antara lain, terdapat percubaan untuk menculiknya. Arumugam juga mendakwa beliau dan pegawainya telah menerima banyak ugutan.

Kedah turut tumbang kepada pembangkang dalam pilihanraya umum lalu.

Pakatan Rakyat memerintah selepas memenangi 22 daripada 36 kerusi di DUN negeri. BN pula mempunyai 14 kerusi.

Daripada 22 kerusi tersebut, 16 dimenangi PAS, PKR (5) dan DAP (1).

Sementara itu, Mahdzir memberitahu Malaysiakini, BN bermesyuarat semalam untuk mebahagikan tugas-tugas bagi kesemua parti komponennya untuk menghadapi pilihanraya kecil Bukit Selambau.

Bagaimanapun, katanya, mesyuarat tersebut tidak membincangkan mengenai soal calon yang bakal bertanding di situ.

Sebaliknya, kata beliau, soal calon itu akan ditentukan dalam masa terdekat ini.

Mahdzir berkata, antara ciri-ciri yang perlu ada pada bakal calon tersebut ialah boleh diterima dan didekati oleh rakyat.

Menurutnya lagi, berdasarkan 'mood' semasa di kawasan BN mempunyai harapan yang cerah untuk menguasainya kembali.

"Ada semangat yang kuat (di kalangan parti komponen BN) untuk merampas balik kerusi tersebut," katanya.

Pada masa ini, semua penyokong BN sedia untuk bekerjasama bagi membantu memenangkan calon BN nanti.