Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Calon yang menang dalam pilihanraya kampus Universiti Islam Antarabangsa (UIA) 22 Januari lalu akan bermesyuarat hari ini bagi membentuk kabinet Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) kampus tersebut.

Ketika dihubungi Malaysiakini, jurucakap pro-Mahasiswa (pro-M), Fazilah Hussain berkata mesyuarat tersebut akan diadakan di kampus Kuantan.

Katanya, calon yang menang di kampus Gombak akan bertolak ke kampus Kuantan pada jam 8.30 pagi. Mereka dijangka mengadakan pemilihan pada 2.30 petang.

Menurut Fazilah, surat untuk mengadakan mesyuarat itu telah diedarkan kepada calon-calon minggu lepas dan pegawai Hal Ehwal Pelajar (HEP) UIA akan hadir dalam proses pemilihan kabinet MPP itu.

Dalam pilihanraya kampus akhir bulan lalu, 29 kerusi fakulti dipertandingkan termasuk lima kerusi antarabangsa di kampus Gombak dan Kuantan, tambahnya.

Kata Fazilah, pro-Mahasiswa menguasai sembilan daripada 16 kerusi yang dipertandingkan di kampus Gombak.

Pro-M memenangi dua kerusi, masing-masing di Fakulti Undang-undang, Fakulti Kejuruteraan dan Fakulti Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan.

Pertahan kerusi

Pro-M turut menguasai satu, kerusi masing-masing di Fakulti Ekonomi, Fakulti Senibina dan Fakulti Informasi dan Teknologi Maklumat.

Menurutnya lagi, calon bebas memenangi lima kerusi manakala calon Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan calon Aspirasi, masing-masing memperolehi satu kerusi di kampus tersebut

Sementara itu, di Kampus Kuantan pula, 13 kerusi dipertandingkan termasuk satu kerusi antarabangsa.

Menurut jurucakap pro-M, pihaknya berjaya mempertahankan kesemua 12 kerusi yang dimenanginya tahun lalu.

Kerusi-kerusi tersebut melibat enam fakulti iaitu Fakulti Perubatan, Fakulti Pergigian, Fakulti Sains, Fakulti Sains Kesihatan Bersekutu, Fakulti Kejururawatan dan Fakulti Farmasi.

Manakala satu kerusi antarabangsa dimenangi calon bebas.

Sehubungan itu, pro-M menguasai 21 daripada 29 kerusi yang dipertandingkan, manakala bebas (6) dan calon PKPIM dan pro-Aspirasi masing-masing mendapat satu kerusi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS