Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) akan berbincang berhubung isu seorang peguam bukan Islam yang mendapatkan semakan kehakiman  untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

"Kita belum buat apa kertas cadangan lagi. Tanggungjawab diberikan kepada Jabatan Kehakiman (Syariah Malaysia) untuk berbincang dan syorkan kepada menteri sama ada perlu atau tidak.

NONE "Kita tak sampai ke mana lagi, kita baru nak bincang. (Kita) diberi tanggungjawab (oleh kerajaan) kepada mahkamah syariah. Kita belum buat keputusan lagi," kata ketua pengarah JKSM Tan Sri Ibrahim Lembut.

Ditanya pihak media bila perbincangan itu akan diadakan, Ibrahim menjawab: "Insya-Allah, dalam masa terdekat ini."

Sebelum itu, Ibrahim menyentuh perkara itu ketika membentangkan kertas dalam muzakarah pakar bertajuk "Selepas 60 tahun kes Natrah: Di Mana Kita?" di Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM).

Ibrahim mengulas laporan mengenai peguam wanita Victoria Jayaseelee Martin yang memperolehi kebenaran Mahkamah Tinggi Sivil Kuala Lumpur bagi mendapatkan semakan kehakiman untuk beliau berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah Kuala Lumpur.

Pertengahan bulan lalu, Hakim Datuk Mohd Zawawi Salleh memberi kebenaran kepada permohonan untuk suatu perintah bagi mendesak Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menerima Victoria sebagai peguam syarie.

Ini adalah kes pertama di negara ini seorang peguam bukan Islam diberi kebenaran untuk mencabar bahawa hanya peguam yang beragama Islam sahaja boleh berkhidmat sebagai peguam di Mahkamah Syariah.

Di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, seseorang yang hendak menjadi peguam syarie disyaratkan beragama Islam. Manakala di negeri-negeri lain, bukan Islam dibenarkan menjadi peguam syarie.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Selangor telah menarik balik pengecualian dan hanya peguam Islam dibenarkan berkhidmat di Mahkamah Syariah di negeri itu.

Manakala Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom dilaporkan berkata syarat untuk seseorang itu menjadi peguam syarie di Mahkamah Syariah dalam negara ini mestilah seorang yang beragama Islam.

Katanya, perkara itu termaktub di dalam undang-undang dan enakmen Mahkamah Syariah yang menetapkan sedemikian.