Mesyuarat, pemilihan PKR di Kuala Nerus tertangguh lagi
Mesyuarat agung PKR Kuala Nerus dan pemilihan anggota majlis pimpinan pusat (MPP) di cabang itu tergendala dua jam susulan pejabatnya didapati berkunci.
Seorang pemimpin kanan PKR di cabang itu memberitahu Malaysiakini , mereka mengesyaki perkara itu berpunca daripada sekumpulan ahli jawatankuasanya yang tidak berpuas hati apabila nama yang dikatakan tidak layak bertanding dicetak dalam kertas undi.
"Jadi kumpulan ini tidak berpuas hati. Mereka memboikot dengan tidak terlibat dengan pemilihan cabang. Pejabat cabang itu tidak dibuka," kata pemimpin itu yang enggan namanya disebut.
Bagaimanapun, tambahnya, mesyuarat agung dan pemilihan MPP itu berjaya dilangsungkan di tempat lain yang terletak kira-kira lima kilometer daripada pejabat cabang berkenaan.
Sehubungan itu, acara yang dijadual bermula pada jam 10 pagi itu dilangsungkan pada jam 12 tengah hari tadi.
Sumber itu juga memaklumkan, kumpulan 10 orang itu juga meletakkan jawatan serta-merta dan menghantar surat rasmi kepada ibu pejabat parti itu sejurus selepas itu.
Bagaimanapun, kata pemimpin itu lagi, mesyuarat dan pemilihan di tempat baru berjalan dengan lancar.
Mesyuarat Kuala Nerus yang sepatutnya diadakan September lalu ditangguh ke hari ini ekoran berlakunya perbuatan vandalisme serta masalah teknikal.
Sementara itu, usaha Malaysiakini bagi mendapatkan penjelasan Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution berhubung insiden itu setakat ini belum berhasil.
Sementara itu, Bernama melaporkan, Ketua AMK Terengganu Fariz Musa berkata inisiatif mengubah tempat mesyuarat itu diambil selepas mendapat persetujuan Jawatankuasa Pemilihan Pusat PKR.
Beliau mendakwa tindakan mengunci pejabat PKR di Padang Air itu merupakan satu sabotaj oleh mereka yang tidak bertanggungjawab bagi menggagalkan mesyuarat tersebut.
"Bila ahli-ahli datang hendak bermesyuarat pagi ini, mereka dapati pintu pejabat tempat mesyuarat itu berkunci," katanya kepada pemberita di Kuala Terengganu, seperti dilaporkan agensi berita nasional.
Walaupun begitu, Fariz juga naib ketua AMK Malaysia berkata sebahagian besar daripada kira-kira 600 anggota berdaftar PKR cabang itu, menghadiri mesyuarat di Batu Enam dan menunaikan tanggungjawab mereka dalam pemilihan parti 2010 itu.

