Dewan Pemuda PAS Pusat (DPPP) hari ini menyerahkan memorandum kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) berhubung dakwaan penggunaan wang zakat bagi membiayai kos guaman Menteri Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan dua lagi individu, berkaitan kes qazaf Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Delegasi enam pemimpin DPPP yang diketuai Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan menyerahkan memorandum tersebut kepada Timbalan Pengarah Eksekutif MAIWP, Ismail Parjo di pejabatnya di Jalan Ipoh kira-kira jam 11.30 pagi ini.

Turut mengiringi Nasrudin ialah beberapa exco dewan tersebut Mohd Sany Hamzan, Kamaruzaman Mohamad, Ahmad Zambri As'ad Khuzaimi dan setiausahanya Khairul Faizi Ahmad Kamil serta ketua penerangan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Suhaimi Abdul Aziz.

Dalam memorandum tersebut, Pemuda PAS mendesak MAIWP memohon maaf kepada seluruh umat Islam berhubung dakwaan penyalahgunaan wang zakat tersebut.

"Kita juga melampirkan surat ketua audit negara dan baucar pembayaran duit zakat tersebut sepertimana yang didedahkan oleh PKR sebelum ini," kata Mohd Suhaimi ketika dihubungi Malaysiakini.

Laporan Audit Negara mengesahkan RM63,650 telah dikeluarkan dari dana zakat MAIWP untuk mendahulukan bayaran khidmat guaman untuk Jamil, pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Datuk Che Mat Che Ali dan ketua pendakwanya, Shamsuddin Hussain.

Bagaimanapun, laporan itu menyatakan jumlah itu telah dikembalikan selepas MAIWP menerima geran RM700,000 pada Jun 2010 daripada kerajaan untuk perbelanjaan lain selain daripada agihan zakat, seperti perkhidmatan perundangan, pentadbiran, elaun mesyuarat dan penyenggaraan kenderaan.

Jamil juga menafikan wang zakat MAIWP disalahgunakan sebaliknya pembayaran kos guaman itu dengan menggunakan "dana khas yang disalurkan kerajaan".

Bahkan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Dr Muhammad Yamin Ismail dilaporkan berkata sekalipun penggunaan wang zakat untuk pembayaran kos guaman, ianya tidak bercanggah dengan hukum syarak berdasarkan keputusan mesyuarat khas Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan pada 3 September 2009.

Mengulas lanjut, Mohd Suhaimi berkata dalam memorandum itu juga, Pemuda PAS turut mempersoalkan mengapa hanya 66 peratus pengagihan zakat disampaikan kepada asnaf di Wilayah Persekutuan pada 2010 dan 54 peratus pada 2009.

"Kita sampaikan juga dokumen kutipan dan pengagihan zakat (bersama-sama memorandum)," katanya sambil bertanya ke manakah baki wang zakat itu dibelanjakan.