Jawatankuasa pemandu pantau Kedah mula tugas
Jawatankuasa Pemandu yang ditubuhkan oleh PAS bagi memantau pelaksanaan manifesto di negeri Pakatan Rakyat yang diterajui parti itu, termasuk di Kedah - yang dilanda kemelut kepimpinan baru-baru ini - telahpun memulakan tugasnya.
Difahamkan jawatankuasa tersebut memulakan tugasnya sejak seminggu lalu. Penubuhannya diumumkan oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali pada 12 Mac lalu.
Bagaimanapun, seperti yang ditegaskan oleh kepimpinan parti itu sebelum ini, jawatankuasa tersebut tidak mencampuri urusan kerajaan negeri dan hanya akan memberi teguran kepada pemimpin negeri tersebut mengikut saluran parti.
Ketika dihubungi
Malaysiakini
pengerusi jawatankuasa berkenaan Datuk Abdul Halim Abdul Rahman mengesahkan perkembangan terbaru itu.
Bagaimanapun, beliau yang juga ahli parlimen Pengkalan Chepa enggan mengulas lanjut.
Selain Abdul Halim, jawatankuasa tersebut turut dianggotai empat lagi pemimpin PAS dari berlainan latarbelakang dan pengalaman.
Mereka ialah Ahli Parlimen Tumpat Datuk Kamarudin Jaafar, pesuruhjaya PAS Johor Datuk Dr Mahfodz Mohamed, peguam PAS Asmuni Awi dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali.
Sementara itu, Mustafa dalam kiriman SMSnya kepada Malaysiakini berkata jawatankuasa itu menjalankan tugas "secara diam-diam" tanpa perlu dihebohkan.
Jawatankuasa itu ditubuhkan ekoran timbulnya kemelut kepimpinan dalam kerajaan negeri Kedah susulan dua exco kanan daripada PAS, Datuk Phahrolrazi Zawawi dan Dr Ismail Salleh yang enggan mengangkat sumpah untuk menyambung semula tugas sebagai exco.
Tindakan kedua-dua pemimpin itu mengundang pelbagai reaksi termasuk kepimpinan Pemuda negeri yang mengusulkan kedua-dua pemimpin didesak supaya melepaskan jawatan timbalan pesuruhjaya PAS negeri.
Bagaimanapun kemelut selesai selepas campurtangan pucuk pimpinan PAS pusat yang membawa kepada penubuhan jawatankuasa pemandu tersebut.

