Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
KEMAS KINI 10.51pm | Lokasi kes Covid-19 hari ini (2 Dis)
Diterbitkan:  Dec 2, 2020 11:35 AM
Dikemaskini: 2:51 PM

Senarai terdahulu: 15 Nov | 16 Nov | 17 Nov | 18 Nov | 19 Nov | 20 Nov | 22 Nov | 25 Nov | 26 Nov | 27 Nov | 28 Nov | 29 Nov | 30 Nov | 1 Dis

Berikut adalah lokasi yang disahkan terjejas akibat Covid-19 dikumpulkan Malaysiakini hari ini.

Malaysiakini akan terus mengemas kini senarai ini dari semasa ke semasa setiap hari.

Sekiranya hari ini anda ada mengetahui mana-mana lokasi yang terjejas akibat Covid-19 tetapi tidak disenaraikan di sini, sila maklumkan kepada kami dengan hantarkan e-mel ke [email protected].


RUMAH IBADAT

  • Masjid Al-Asma'ul Husna, Johor Bahru, Johor

Mereka yang hadir solat di masjid di Bandar Uda Utama itu dari 22 November hingga 2 Disember diminta untuk memeriksa kesihatan mereka terhadap gejala Covid-19.

Ini kerana seorang jemaah telah diuji positif Covid-19, kata jawatankuasa masjid dalam notisnya.

Masjid itu ditutup sementara untuk pembasmian kuman.

  • Masjid Cahaya Iman Bandar Country Homes, Rawang, Selangor

Seorang ahli jawatankuasa masjid diuji positif Covid-19 pada hari Sabtu (28 Nov).

Menurut ahli jawatankuasa lain, lelaki tersebut dipercayai dijangkiti virus itu dari ahli keluarga. Isterinya juga didapati positif.

Berikutan itu, masjid ini ditutup selama 14 hari mulai 28 November, dan semua ahli jawatankuasa serta mereka yang dikenal pasti berhubung dengan kes-kes tersebut telah diperintahkan untuk menjalani pemeriksaan saringan virus.

  • Lima masjid dan surau di Muar, Johor

Menurut laporan portal Oriental Daily, Pejabat Hal Ehwal Agama Islam Muar telah mengarahkan lima surau dan masjid di daerah itu ditutup buat sementara waktu akibat Covid-19.

Arahan itu dikeluarkan malam semalam bagi membenarkan aktiviti sanitasi dilakukan selepas pihak berkuasa mendapat maklum berhubung seorang guru agama yang didapati positif telah ke beberapa masjid dan surau terbabit.

Premis yang terjejas adalah Masjid Sarang Buaya, Masjid Parit Jawa, Masjid Parit Pecah, Surau Parit Pinang Seribu dan Surau Sungai Gersik 2.

Masjid dan surau ini dijangka akan dibuka hari ini.


PERNIAGAAN

  • Public Mutual, Menara Public Bank 2, Kuala Lumpur

Difahamkan, kes positif Covid-19 dikesan di pejabat berkenaan.

Ketika dihubungi, unit komunikasi korporat syarikat mengesahkan seorang pekerja didapati positif semalam.

Sejak itu, mereka melakukan sanitasi teliti di tempat tersebut. Pejabat Public Mutual dan premis lain di bangunan tetap dibuka untuk perniagaan.

  • Resorts World Genting

Syarikat itu mengeluarkan kenyataan pada 25 November, berkata salah seorang pekerjanya di bawah jabatan keselamatan diuji positif Covid-19 sehari sebelumnya.

Kes itu dikesan semasa pemeriksaan rutin terhadap pekerja dan pekerja kontrak.

Menurut syarikat itu, pekerja yang terlibat bekerja di gudang syarikat dan tidak mempunyai hubungan dengan tetamu RWG.

Malaysiakini difahamkan daripada hasil saringan, seorang lagi pekerja telah diuji positif.


PETEMPATAN

  • Taman Pasdec Aman, Kuantan, Pahang

Seorang pendandan rambut yang mengendalikan perniagaan dari rumahnya di Kuantan semalam diuji positif Covid-19 semalam.

Mengesahkan hal ini dengan Malaysiakini, dia berkata ahli keluarganya telah menjalani ujian swab dan sedang menunggu keputusan.

Dia meminta mereka yang bertemu dengannya dari 17 November hingga 1 Disember untuk mendapatkan ujian Covid-19.

Dia juga memohon maaf kepada semua yang mempunyai kontak rapat dengan dirinya atas segala kesulitan yang timbul.

  • Taman Pinggiran Delima, Hulu Langat, Selangor

Pada 22 Nov lalu, lima orang sekeluarga yang tinggal di flat terbabit telah disahkan positif Covid-19 , lapor portal Oriental Daily.

Susulan itu, pihak pengurusan flat telah melaksanakan langkah pencegahan seperti aktiviti sanitasi di kawasan kediaman bagi mengekang penularan wabak.


LAIN-LAIN

  • Plaza Tol Ayer Panas, Lebuhraya Duta-Ulu Kelang, Kuala Lumpur

Plaza tol ini akan ditutup secara berperingkat setelah seorang jurutol positif Covid-19 semalam, lapor Bernama.

"Sehubungan itu, pengguna lebuh raya dari arah pusat bandar Kuala Lumpur, Sentul dan Gombak yang ingin menuju ke arah Ampang, Setiawangsa dan Wangsa Maju dinasihatkan untuk memastikan baki kad Touch N Go dan e-dompet sentiasa mencukupi," menurut kenyataan Pemegang konsesi Lebuhraya DUKE, Konsortium Lebuhraya Utara-Timur (KL) Sdn Bhd (KESTURI).


[Berita lanjut menyusul] 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.

 

Lihat Komen
ADS