Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KEMAS KINI 11.53pm | Lokasi terkini kes positif Covid-19 (27 Okt)

Berikut adalah lokasi yang disahkan terjejas akibat Covid-19 hari ini.

Senarai lokasi terdahulu: 8 Okt | 9 Okt | 10 Okt | 11 Okt | 12 Okt | 13 Okt | 14 Okt | 15 Okt | 16 Okt | 17 Okt | 18 Okt | 19 Okt | 20 Okt | 21 Okt | 22 Okt | 23 Okt | 24 Okt I 25 Ok | 26 Okt

Lokasi terkini yang ditambah: Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat.

Malaysiakini akan mengemas kini senarai ini dari semasa ke semasa sekiranya terdapat perkembangan terbaru.

Jika anda mengetahui mana-mana lokasi lain yang diumumkan hari ini, tetapi tidak disenaraikan di sini, sila hantarkan e-mel ke [email protected].

Untuk senarai lokasi yang terjejas dalam 14 hari lalu, sila lawati laman khas Kini News Lab ini.


SEKOLAH

  • SK Haji Hasan, Changkat Petai, Perak

Menurut Bernama sekolah berkenaan diarah agar ditutup mulai esok sehingga 3 Nov. Ia dibuat selepas satu kes Covid-19 dikesan di sekolah berkenaan.


PUSAT PERUBATAN

  •  Hospital Pakar Wanita dan Kanak-kanak Avisena, Shah Alam, Selangor

Menurut syarikat itu, dua kakitangannya dikesan positif Covid-19 semalam. Kedua-dua mereka merupakan kakitangan pengurusan dan kontak dengan pelanggan adalah terhad.


PETEMPATAN

  • Kondominium Union Heights, Taman Yarl, Kuala Lumpur

Jawatankuasa pengurusan bangunan mengeluarkan notis pada Ahad untuk memaklumkan seorang penghuni di blok 7 positif dan sudah dibawa ke hospital.

Katanya kakitangan KKM akan menjalankan kerja-kerja nyah kuman tetapi pihak pengurusan juga akan melakukan hal yang sama sekali lagi sebagai langkah berjaga-jaga.


PERNIAGAAN

  • Pejabat Air Selangor Wilayah Kuala Langat

Seorang kakitangan Air Selangor disahkan positif kira-kira jam 4.30 petang hari ini, lapor Bernama.

Sebagai langkah pencegahan pejabat berkenaan ditutup sementara. Tiada tarikh diberikan dalam laporan tersebut.

Menurut Air Selangor warga kerja berkenaan menjalani kuarantin sejak 22 Okt lepas sehinggalah disahkan positif petang tadi.

Air Selangor juga mengesan kontak rapat mana-mana warga kerja dan pelawat yang berurusan secara terus dengan warga kerja berkenaan dari 19 Okt hingga 22 Okt lalu.

  • Kelab Golf Royal Selangor, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur

Seorang ahli kelab berkenaan positif Covid-19 semalam, kata kelab itu dalam notis yang disampaikan kepada ahlinya.

Kelab itu ditutup mulai 26 Oktober, sementara menunggu lebih banyak maklumat dari pihak berkuasa.

  • Kelab Golf TPC Kuala Lumpur, Bukit Kiara, Kuala Lumpur

Seorang ahli kelab yang mengunjungi kelab berkenaan semalam diuji positif Covid-19, demikian menurut notis di laman Facebooknya.

Kelab itu ditutup buat sementara waktu mulai hari ini sehingga tarikh yang akan diberitahu kelak, untuk kerja-kerja sanitasi dan disinfeksi.

  • Nivetha Curry House, Taman Alam Jaya Kajang Selangor

Seorang pekerja restoran berkenaan ditahan polis pada 16 Okt kerana tidak memakai pelitup muka ketika bekerja, kata sumber.

Pekerja asing itu dibawa ke lokap polis daerah Kajang dan ujian swab dilakukan pada 22 Oktober sebelum keputusan menunjukkan dia positif Covid-19 dua hari selepas itu.

Pemilik restoran yang memperkenalkan dirinya sebagai Mahendran, ketika dihubungi, memberitahu Malaysiakini bahawa pekerja tersebut diuji positif setelah dilokap dan ujian ke atas semua individu lain yang bekerja di restoran berkenaan adalah negatif.

Katanya, restoran berkenaan ditutup buat sementara waktu kerana semua pekerja dinasihatkan menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari.

  • WRP Asia Pacific Sdn Bhd, Bandar Baru Salak Tinggi, Selangor

Seorang kakitangan disahkan positif pada 20 Okt, kata presiden syarikat sarung tangan berkenaan, Leong Wai Leong kepada Malaysiakini .

Pekerja berkenaan menyertai syarikat itu pada 13 Okt dan menjalani ujian saringan pada 16 Okt setelah mempunyai kontak dengan individu positif Covid-19 di luar tempat kerja.

Pekerja itu tidak tinggal di asrama, namun kerja-kerja sanitasi dilakukan di asrama.

Pekerja lain yang mempunyai kontak dengan individu terbabit diarah menjalani kuarantin dan nama mereka diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk ujian saringan.


BANGUNAN KERAJAAN

  • LHDN Labuan & Shah Alam

Dua cawangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) di Labuan dan Shah Alam ditutup buat sementara waktu bagi kerja-kerja sanitasi, lapor Astro Awani pagi ini.

Laporan itu memetik notis yang dikeluarkan oleh LHDN, yang mengatakan bahawa cawangan berkenaan ditutup bermula semalam (26 Okt) sehingga ke satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

Notis itu tidak menyatakan sama ada terdapat kes positif di premis tersebut. 

Bagaimanapun sebelum ini LHDN mengarahkan pejabatnya di Jalan Tuanku Abdul Halim ditutup setelah kakitangannya diuji positif Covid-19.

Lihat Komen
ADS